top of page

Pandora Papers: Tubuh Suruhanjaya Diraja, perkasa undang-undang perisytiharan harta



Pendedahan Pandora Papers telah menggegarkan banyak negara di dunia susulan siasatan Konsortium Kewartawanan Siasatan Antarabangsa (ICIJ) di Washington, Amerika Syarikat sejak dua minggu lalu.


Malangnya di Malaysia, isu Pandora Papers hampir tidak kedengaran dibicarakan oleh pihak berkuasa. Hanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat kenyataan akan berkerjasama dengan Bank Negara Malaysia untuk menyiasat.


Bagaimanapun kes Pandora Papers melibatkan juga pelbagai agensi lain seperti polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan sebagainya yang harus membentuk satu pasukan penyiasat sebagaimana dituntut oleh banyak pihak.


Untuk itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasir mendesak agar kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat skandal berkenaan secara menyeluruh.


"Di pihak AMK kita melihat banyak perkara boleh dilakukan berkait isu ini. Oleh kerana ia melibatkan beberapa individu berpengaruh, antara perkara yang perlu dilaksana adalah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat lebih dalam perkara ini dan mengheret individu yang terlibat ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Selain itu, Akmal juga mahu satu undang-undang perisytiharan harta dibuat bagi memudahkan rakyat menilai ketelusan pemimpin politik agar tidak lagi berlaku nama-nama menteri dan bekas menteri tersenarai seperti dalam Pandora Papers.


"Sebelum PRU-14 lalu, Pakatan Harapan melalui INVOKE telah membawa beberapa calon PH untuk melakukan pengisytiharan harta secara umum dan perkara ini dibawa ke Parlimen selepas PH berjaya mentadbir Putrajaya. Ia sangat penting bagi mengekang unsur rasuah dan salahguna kuasa di kalangan wakil rakyat.


"Bagi tujuan itu, beberapa undang-undang juga perlu diperkasa terutama berkait dana negara yang dibawa keluar demi kepentingan individu," katanya.


Tambah Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, Malaysia tidak seharusnya membiarkan ahli politik dan perniagaan tidak disiasat dan menjejaskan imej negara di mata dunia setelah dibuktikan sebanyak RM1,800 bilion dilarikan keluar negara sepanjang 2004 hingga 2014 lalu.


"Beberapa pemimpin negara tersenarai dalam laporan Pandora, antaranya Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi, Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa dan keluarga ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.


"Pendedahan ini seperti menunjukkan ketirisan yang berlaku sehingga berbilion wang dilarikan untuk kepentingan beberapa individu," katanya lagi.


Pandora Papers merupakan pendedahan lanjut daripada Panama Papers yang membariskan nama-nama tokoh politik, perniagaan dan anak-anak mereka yang mempunyai akaun luar pesisir dan dikhuatiri dibuat sama ada untuk mengelak dari membawar cukai atau melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page