top of page

Pandora Papers: Pinda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 demi ketelusan pentadbiran



Kerajaan Perikatan Nasional 2.0 didesak untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang lemah dan sering tidak membantu para pemberi maklumat (whistleblowers).


Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir yang mewakili pertubuhan National Oversight & Whistleblowers (NOW), pendedahan Pandora Papers yang dibuat oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) baru-baru ini mengenai segelintir ahli politik dan ahli perniagaan Malaysia yang membawa keluar ratusan billion ringgit wang dan disorok di beberapa akaun persisir, menunjukkan banyak kelemahan serta kelompongan dalam sistem penguatkuasaan sehingga diambil kesempatan oleh individu-individu tertentu demi kepentingan peribadi.


"Hal ini jelas menunjukkan peranan pemberi maklumat (whistleblower) dan kepentingan amalan pemberian maklumat (whistleblowing practice) bagi mengekang perbuatan salah laku, korupsi dan rasuah yang turut diperakui oleh organisasi-organisasi antarabangsa.


"Dalam konteks Malaysia, perbuatan pendedahan maklumat khususnya yang berkaitan dengan soal kepentingan awam sering kali berdepan dengan tentangan daripada pihak berkuasa sehingga disabitkan dengan tindakan undang-undang.


"Sebagai contoh, kes-kes seperti penyelewengan dana rakyat oleh National Feedlot Corporation (NFC), Yayasan Pembangunan Islam Malaysia (YaPEIM) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang telah membongkarkan perbuatan salah laku ahli-ahli politik tertentu yang mungkin tidak akan diketahui oleh masyarakat jika tiada pemberi maklumat yang tampil untuk membuat pendedahan," katanya dalam sidang media di Parlimen, pagi tadi.


Tambah Akmal, sebahagian individu-individu yang membuat pembongkaran di Malaysia itu berakhir dengan saman fitnah atau berdepan tuduhan jenayah di mahkamah seperti di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan sebagainya.


Selain itu, katanya, pendedahan individu seperti adik Ain Husniza berkaitan gangguan seksual yang dihadapinya di sekolah telah membuka mata masyarakat mengenai isu ‘rape culture’ yang berlaku di peringkat sekolah, yang menuntut tindakan drastik daripada pihak kerajaan bagi menangani masalah tersebut.


Bagaimanapun, kata Akmal, adik Ain Husniza kini berdepan dengan notis saman fitnah serta turut mendapat kecaman daripada segelintir masyarakat.


"Oleh yang demikian, National Oversight & Whistleblowers (NOW) dengan sokongan ahli Parlimen Johor Bahru, Permatang Pauh, Hulu Langat dan Bandar Kuching menuntut agar pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whistleblowers Protecton Act 2010) dibuat bagi meningkatkan peranan pemberi maklumat, dalam membentuk sebuah pentadbiran negara yang telus dan berakauntabiliti di samping menjamin hak perlindungan terhadap pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat-maklumat melibatkan kepentingan awam," katanya.


Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia itu, pindaan yang dibuat haruslah berteraskan tiga aspek utama. Iaitu memperkasa peranan pemberi maklumat dalam melindungi kepentingan awam dengan menambah baik mekanisme pemberian maklumat. Misalnya, pendedahan maklumat kepada pihak media. Juga Menjamin hak perlindungan yang lebih baik kepada pemberi maklumat.


Di samping itu, menjamin imuniti serta kebebasan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 daripada undang-undang lain yang berkaitan seperti OSA.


Pada masa sama, kata Akmal, untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan pemberian maklumat, NOW telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah buku panduan dwibahasa yang bertajuk Whistleblowing Practices: A handbook guide.


"Buku ini antaranya mengandungi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pemberi maklumat, contoh contoh kes pemberian maklumat yang pernah berlaku di Malaysia, perbincangan mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (WPA 2010) dan perbandingan dengan akta yang diguna pakai di negara-negara luar, serta yang paling utama adalah cara-cara untuk memberikan maklumat (whislteblow) dalam konteks undang-undang di Malaysia.


"Buku panduan ini akan diedarkan kepada pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, organisasi organisasi anak muda dan juga kumpulan media bagi menggerakkan usaha secara kolektif untuk menuntut perlindungan yang lebih baik kepada pemberi maklumat," katanya lagi.


Sidang media beiau juga turut dilengkapkan dengan ucapan daripada Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii Lee dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page