Pandangan Friends of Ministry penting pandu pembangunan Wilayah Persekutuan
- Suara Keadilan

- Aug 26
- 1 min read

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan bahawa pandangan dan cadangan daripada Friends of Ministry (FOM) Jabatan Wilayah Persekutuan memainkan peranan penting dalam merangka dasar pembangunan Kuala Lumpur serta Wilayah Persekutuan secara keseluruhan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus bersama wakil rakyat dan rakan-rakan FOM yang berlangsung semalam.
"Saya meneliti dan mendengar pandangan yang dikemukakan. Sesi ini membuktikan betapa pentingnya suara wakil rakyat yang juga rakan-rakan FOM digembleng bersama dalam merangka dasar pembangunan Wilayah Persekutuan," katanya dalam muat naik di media sosial.
Dr Zaliha menambah, semangat keterangkuman yang dizahirkan melalui sesi libat urus itu sejajar dengan prinsip Kerajaan MADANI yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan warga kota.
"Inilah semangat keterangkuman yang kita junjung dan menjadi bukti bahawa Kerajaan MADANI sentiasa bekerja untuk kesejahteraan warga kota," jelasnya.
Menurut beliau, kementerian akan terus mengadakan sesi libat urus sebegini bagi memastikan suara rakyat di Wilayah Persekutuan dapat didengari serta diterjemahkan dalam bentuk dasar dan pelaksanaan yang memberi manfaat secara menyeluruh.
FOM yang diwujudkan sebagai rakan strategik kepada kementerian berperanan membawa suara masyarakat setempat, sekali gus membantu memastikan dasar kerajaan lebih menyeluruh, seimbang dan berpaksikan keperluan rakyat.
Dengan kerjasama erat antara kementerian, wakil rakyat dan FOM yang kebanyakannya Ahli Parlimen, Dr Zaliha yakin Wilayah Persekutuan mampu dibangunkan sebagai bandar raya yang mampan, inklusif serta berdaya saing di peringkat global.









Comments