"Pandang rendah UIAM sikap tidak baik" - Fahmi
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 1 min read

Pembangkang tidak seharusnya memandang rendah keupayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam menjalankan kajian cadangan pelaksanaan pilihanraya Datuk Bandar Kuala Lumpur, demikian kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (gambar).
Beliau berkata tindakan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilihat mempertikaikan kewibawaan universiti awam itu adalah sikap yang buruk dan tidak bertanggungjawab.
"Saya kesal ada pihak yang mempertikai keupayaan UIAM untuk melakukan kajian ini.
"Bagi saya itu satu sikap yang tidak baik oleh ahli politik ini… sangat tak bertanggungjawab," katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Semalam PN mempersoalkan pemilihan UIAM sebagai institusi pelaksana kajian tersebut dengan Takiyuddin menegaskan terdapat universiti lain yang lebih berkelayakan untuk tujuan berkenaan.
Fahmi dalam kenyataan turut dilihat memulangkan "paku buah keras" terhadap Pas yang sehingga kini masih belum mengumumkan calon perdana menteri bagi pilihan raya umum akan datang.
"Sikap ahli politik ini, setiausaha agung sebuah parti yang mempunyai calon berlori-lori untuk calon perdana menteri, tapi dia boleh ada sikap seperti ini… bagi saya, itu satu sikap yang sangat buruk," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.
Dalam pada itu beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata cadangan pelaksanaan pilihanraya pihak berkuasa tempatan dan datuk bandar belum dibincangkan secara rasmi dalam Jemaah Menteri.
Katanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh hanya memaklumkan secara lisan bahawa kajian sedang dijalankan oleh UIAM.
"Jadi ia cuma pemakluman lisan bukan melalui nota atau memorandum Jemaah Menteri," tambah beliau.









Comments