Pameran MIMF: Pelbagai mesin, teknologi pemprosesan terkini untuk pengusaha
- Suara Keadilan
- 7 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Syarikat perunding dan pensijilan halal, Zajas Sdn Bhd tampil berkongsi latar belakangnya yang antara lain berperanan membimbing syarikat langkah demi langkah dalam proses mendapatkan pensijilan halal.
Perkara itu dikongsikan Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Jaafar ketika menyampaikan ucapan pada majlis pengenalan Malaysia International Machinery Fair (MIMF) edisi ke-36 yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.
Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan penilaian pematuhan yang dilakukan secara menyeluruh.
''Kami melakukan audit penuh terhadap bahan mentah, rantaian bekalan, proses pengeluaran dan protokol kebersihan.
''Selain itu, kami juga mengenal pasti potensi risiko dan pada masa sama menyediakan jalan penyelesaian yang bersesuaian.
''Kami juga membantu anda memilih pihak berkuasa pensijilan yang tepat berdasarkan produk dan pasaran sasaran anda sekali gus membimbing anda sepanjang proses permohonan,'' katanya dalam majlis tersebut.
Selain membantu mendapatkan sijil halal, Zainal memaklumkan pihaknya turut menyediakan pemantauan pematuhan secara berterusan, serta bantuan dalam aspek pelabelan halal, penjenamaan dan juga strategi pemasaran.
Untuk rekod, MIMF merupakan pameran tahunan peralatan mesin dan teknologi industri serta dijangka menghimpunkan lebih 450 syarikat dari dalam dan luar negara dengan lebih 700 gerai pameran.
Pameran itu akan diadakan pada 10 hingga 12 Julai bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Tiga zon utama pameran dijangka menjadi tumpuan iaitu Zon Plastik dan Acuan (Mould & PLAS), Zon Pemprosesan Makanan, Pembungkusan & Peralatan Bakeri serta Zon Teknologi Pintar & Paparan LED.
Ekspo Antarabangsa Mesin dan Peralatan (MIMF) Kali Ke 36 ini anjuran bersama Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), Promas dan Macita.
Comments