Pakistan, Uganda, Bulgaria mahu kongsi maklumat ICT dengan M'sia
- Suara Keadilan

- 54 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Malaysia terus mendapat perhatian antarabangsa apabila Pakistan, Uganda dan Bulgaria menyatakan kesediaan memperkukuh hubungan dua hala terutama dalam perkongsian maklumat teknologi dan telekomunikasi (ICT).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diketengahkan dalam mesyuarat dua hala bersama rakan sejawat dari ketiga-tiga negara berkenaan di sela-sela Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) yang berlangsung di Baku, Azerbaijan, semalam.
Beliau berkata, pertemuannya dengan Menteri Negara bagi Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Penerangan Uganda, Godfrey Baluku Kabbyanga Kiime, membuka peluang lebih luas untuk menjalinkan kerjasama terutama dalam pertukaran maklumat antara kementerian kedua-dua negara.
"Ia bersifat terbuka dan memberi peluang untuk kita meneliti serta bertukar pandangan mengenai dasar yang dilaksanakan melalui maklumat yang dikongsi, mungkin ada perkara yang boleh diambil kira bagi menambah baik dasar di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.
Dalam pada itu, Uganda turut menyatakan minat mempelajari pendekatan Malaysia dalam memperluaskan penggunaan internet dalam kalangan rakyat khususnya berikutan cabaran negara itu dari aspek akses peranti dan tahap literasi digital.
Sementara itu, pertemuan dengan Menteri Pengangkutan dan Komunikasi Bulgaria, Dimitar Nedyalkov turut membuka ruang kerjasama baharu, termasuk cadangan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan hubungan dalam pelbagai bidang telekomunikasi.
"Saya melihat setiap negara ini menawarkan peluang yang signifikan untuk kita berkongsi pandangan, pengalaman dan kepakaran dalam sektor telekomunikasi, selain aspek keselamatan siber, kepenggunaan dalam ekonomi digital dan beberapa bidang berkaitan lain," katanya.









Comments