Kerajaan digesa untuk memanjangkan lagi tempoh moratorium bank memandangkan rakyat masih terkesan dengan keadaan ekonomi yang belum pulih sepenuhnya.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Akmal Nasir berkata sebilangan besar rakyat masih terbeban dengan masalah kewangan dan tanggungan lain selain berdepan dengan risiko jangkitan Covid-19.
"Lanjutan tiga bulan lagi moratorium bakal membantu 7.7 juta peminjam dan 245,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Sekiranya kerajaan gagal berbuat demikian, pakej rangsangan ekonomi Prihatin tidak akan berkesan dan tidak berupaya membantu rakyat bawahan yang terkesan dengan pandemik Covid-19 yang tidak berkesudahan," katanya.
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya menghentikan seketika kemelut politik dan memberikan fokus utama kepada keperluan rakyat.
"Diharapkan kerajaan berhenti bermain politik dan dapat mengambil langkah proaktif dengan segera dengan program ekonomi yang lebih fleksibel dalam menangani situasi semasa ekonomi yang tidak menentu," katanya.
コメント