
Pakej ransangan ekonomi melawan impak pandemik Covid 19 yang dirancang tidak memberi kesan yang diharapkan kepada ekonomi negara.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah berkata, pakej ekonomi yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar difokuskan kepada industri pembuatan produk serta perkhidmatan, bukannya terlalu berpaksi kepada bantuan tunai untuk menaikkan populariti seperti yang dilakukan sekarang.
"Mereka (kerajaan PN) umum bajet yang sangat besar RM250 bilion, tetapi jumlah itu tidaklah penting sangat. Apa yang penting ialah jumlah tunai lebih kurang RM35 bilion yang kerajaan (belanjakan).
"Saya rasa kerajaan pinjam wang. Sekurang-kurangnya RM20 bilion disalurkan kepada golongan miskin, B40 dan sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
"Bagi saya bantuan wajar dihulur tetapi pendekatan terbaik ialah mendapatkan manfaat maksimum.
"Kita sepatutnya bukan saja beri duit tetapi pastikan duit itu diguna membuat penambahbaikkan. Ini yang saya kurang yakin. Kita perlu gunakan peluang Covid 19 untuk memulihkan IKS dan menjana industri baru. Kita juga perlu gunakan dana ini untuk pelaburan kepada sektor pertanian," katanya kepada Suara Keadilan.
Selain itu, Sivarasa menyeru kerajaan PN mempertingkatkan keselamatan makanan kerana sektor pertanian negara masih tidak mampan dan negara terpaksa mengimport terlalu banyak bahan makanan dari luar.
Katanya, wabak Covid 19 seharusnya membuka mata agar kerajaan menumpukan lebih perhatian kepada sektor tersebut berbanding industri sedia ada.
"Negara kita kurang food security. Kita import makanan RM60 bilion setahun. Kita perlu kembangkan sektor pertanian. IKS perlu diberi peranan.
"Bukan saja pinjam duit untuk beri bantuan tetapi juga salurkan kepada industri pertanian, industri hijau, industri terpilih supaya ekonomi kita maju ke depan sesuai dengan ekonomi pada masa hadapan.
"Inilah yang saya tidak yakin dengan PN," katanya.
Untuk rekod, kerajaan PN telah membelanjakan hampir RM300 bilion dalam 3 pakej ransangan berbeza. Namun impak kejatuhan ekonomi masih dirasakan terutama terhadap sektor pekerjaan kolar biru.
Pengangguran dilaporkan mencecah 800,000 pada Ogos 2020 dan bakal meningkat.
Sedangkan industri pembuatan sedia ada kekurangan pasaran di seberang laut. Oleh itu, kerajaan perlu mewujudkan industri baharu misalnya memperkasa sektor pertanian yang boleh mengurangkan import dan mempunyai permintaan dalam negara yang tinggi.