Pakej ransangan ekonomi berbilion ringgit, rakyat marhaen masih menderita




Pakej ransangan ekonomi kerajaan 'tebuk atap' Perikatan Nasional (PN) diuar-uarkan sebagai antara yang terbaik di dunia. Malah dalam pembentangan pertama pada Mac lalu berjumlah RM250 bilion, Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin mengambarkan keluarga berpendapatan rendah akan mendapat sehingga RM7,864 nilai bantuan.


“Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864”, kata Muhyiddin.


Tiga bulan telah berlalu, adakah Makcik Kiah mendapat jumlah yang disebut. Hal ini dibangkitkan oleh Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan.


Katanya, bukan sahaja Makcik Kiah tidak mendapat jumlah yang diumumkan, sebaliknya banyak lagi golongan marhaen yang menderita tidak terbela melalui pakej ransangan kerajaan.


"Hakikatnya kita tahu ramai lagi rakyat yang terjejas dengan cabaran ekonomi ekoran wabak Covid-19. Kehidupan mereka sekarang tidak menentu dan hanya bergantung kepada bantuan yang dijanjikan untuk terus menyara keluarga.


"Sebagai contoh, terdapat satu kes yang saya terima di mana suami hilang sumber pendapatan oleh kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). Pada masa yang sama, beliau memiliki tanggungan dua orang anak, isteri yang sedang mengandung 7 bulan anak ketiga. Disebabkan tiada wang, satu keluarga kini dihalau keluar daripada tempat tinggal mereka kerana tidak mampu membayar sewa. Adakah ini satu kes yang terpencil?" tanyanya dalam satu kenyataan.


Menurut Zahir, melalui data Jabatan Statistik Malaysia rakyat boleh melihat kesan serius daripada wabak Covid-19 ke atas sektor pekerjaan. Kadar pengangguran bertambah dari bulan ke bulan: Februari 3.3 %, Mac 3.9% dan April 5%. Hal itu bersamaan dengan lebih 610,000 orang bagi Mac dan 778,800 orang bulan April.


Malah, kata Zahir, seperti yang dilaporkan dalam The Edge Markets pada 15 Jun 2020, pakar ekonomi menjangkakan angka ini berpotensi untuk terus bertambah sehingga 7% atau melebihi 1 juta orang.


"Untuk pengetahuan, terdapat sejumlah 2.59 juta orang yang bekerja sendiri pada bulan April 2020. Kumpulan ini yang sebahagian besarnya terdiri daripada peniaga atau pengusaha kecil-kecilan (pasar tani/ pasar malam/ katering/ freelancer), terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan berikutan PKP.


"Memang mudah untuk kita memberikan statistik dengan angka-angka dan peratusan. Tetapi bagi tuan punya diri yang menjadi sebahagian daripada statistik itu, lain ceritanya.


"Tekanan daripada pelbagai sudut termasuk kewangan, mental dan psikologi sedang menghambat mereka. Inilah yang sedang dilalui oleh 778,800 orang yang hilang pekerjaan dan dijangka akan bertambah melebihi 1 juta. Jika dimasukkan bilangan tanggungan yang terbabit bagi setiap pekerja, jumlah mereka yang terkesan pasti jauh lebih tinggi.


"Namun persoalan yang berlegar sejauh manakah keberkesanan penyaluran bantuan melalui Pakej PRIHATIN yang bernilai RM22 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bernilai RM35 bilion setakat ini?" tanyanya lagi.


Bagi Zahir, rakyat perlu maklum setiap perincian penyaluran dana yang dibuat bagi memastikan sistem penyampaian yang telus. Hal itu, tegasnya, bagi mengelakkan sebarang ketirisan akibat daripada amalan orang tengah, komisen dan sebagainya.


"Saya menuntut kerajaan membentangkan satu strategi holistik untuk menangani situasi pengangguran yang kian bertambah dalam sesi Parlimen akan datang. Memandangkan sebelum ini langsung tiada perbincangan di peringkat Parlimen bagi meluluskan pakej-pakej ransangan ekonomi tersebut," kata beliau lagi.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio