
Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) hari ini melancarkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap (Home Internet) berharga RM69 sebulan.
Menurut kenyataan KKD, pakej yang dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil tersebut dilaksanakan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan jalur lebar tetap iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan YTL.
"Pakej ini menawarkan perkhidmatan dengan kelajuan sehingga 30 Mbps dan data tanpa had berharga hanya RM69 sebulan serta kontrak langganan selama 24 bulan.
"Harga pakej yang ditawarkan 22% lebih murah berbanding harga pakej semasa sekitar RM89 dengan spesifikasi yang sama. Ini membolehkan rakyat menikmati penjimatan sebanyak RM480 sepanjang tempoh kontrak.
"Pengenalan pakej tersebut selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk menurunkan kos sara hidup yang menyasarkan golongan B40, Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pesara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Orang Kurang Upaya (OKU) serta warga emas," kata kenyataan KKD.
Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif berkenaan membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan bersama-sama penyedia perkhidmatan terhadap keperluan memastikan kesalinghubungan digital yang lebih menyeluruh dengan harga yang lebih rendah seiring dengan konsep Malaysia MADANI.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha KKD, Datuk Sri Mohammad Mentek, Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Ketua Pegawai Korporat dan Kawal Selia Telekom Malaysia, YM Tengku Muneer Tengku Muzani dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Ilias Shuib serta wakil-wakil syarikat penyedia perkhidmatan.