top of page

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dilaksana mulai bulan depan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 56 minutes ago
  • 1 min read
DS Amirudin menyerahkan simbolik sumbangan lembu korban kepada wakil Bomba Sukarelawan
DS Amirudin menyerahkan simbolik sumbangan lembu korban kepada wakil Bomba Sukarelawan

Kerajaan Negeri Selangor akan mula melaksana beberapa pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada bulan depan, kata Menteri Besar.


Berucap dalam satu majlis di Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan, usaha itu bagi membantu golongan terkesan akibat peningkatan kos sara hidup kesan krisis global.


"Pakej rangsangan yang diumum April lalu ada sebahagiannya akan bermula Jun dan Julai. Ia mampu menyerap dan memberi kelegaan kepada mereka yang memerlukan.


"Sekarang kita sedang bekerja keras menyiapkan pelan pelaksanaan dan rencananya supaya tidak ada yang tertinggal dan dilaksanakan dengan lancar serta berkesan," katanya dipetik.


Pada majlis tersebut Amirudin menyerahkan 145 ekor lembu dan kambing untuk diagihkan kepada beberapa komuniti termasuk surau dan masjid di Parlimen Gombak bagi pelaksanaan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini.


Sebagai rekod, Amirudin pada April lalu mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta bagi membantu rakyat serta industri negeri menghadapi kesan krisis bekalan tenaga global susulan konflik di Asia Barat.


Inisiatif tersebut sebagai langkah fasa pertama untuk memperkukuh bekalan makanan dan mengawal inflasi di negeri Selangor.


Sementara itu menurutnya, Kerajaan Negeri kini sedang giat memperincikan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa kedua sebagai persediaan menghadapi kemungkinan peningkatan kos sara hidup dan kesan krisis bekalan global dalam beberapa bulan akan datang.


Jawatankuasa pasukan tindakan khas kini giat bermesyuarat bagi mengumpul data serta meneliti pelbagai cadangan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page