Pakej mewah: Ibadah haji bukan bahan fitnah politik – Nurul Izzah
- Suara Keadilan
- Jun 9
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menepis fitnah yang mendakwa beliau menunaikan ibadah haji menaiki jet peribadi serta pakej haji mewah.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Nurul Izzah memaklumkan bahawa beliau dan suaminya Yin Shao Loong menunaikan ibadah tersebut melalui visa mujamalah dan menggunakan penerbangan komersial yang ditanggung menerusi wang simpanan sendiri.
"Banyak hantaran dan mesej berkaitan fitnah telah dikirim kepada saya. Apabila ada sesuatu tidak benar tersebar begitu jauh daripada hakikat sebenar maka ia perlu diperbetulkan.
"Syukur Alhamdulillah, saya dan suami berpeluang menunaikan ibadah haji sebagai tetamu Allah SWT melalui visa mujamalah.
"Urusan logistik, termasuk tempat tinggal dan pengangkutan diatur oleh agensi pelancongan berlesen, Mimm Travel. Menaiki penerbangan komersial dan menggunakan wang simpanan sendiri.
"Tiada jet peribadi seperti yang difitnah. Perjalanan dilakukan sama seperti jutaan jemaah haji yang lain," katanya.
Sementara itu Nurul Izzah berkata, dalam perbezaan pandangan dan bertarung dalam medan politik di dunia, tidak seharusnya ibadah haji dijadikan sebagai bahan tohmahan dan fitnah.
"Biarlah kita saling mendoakan, semoga Allah SWT mengurniakan rezeki dan peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk menjadi tetamu-Nya dalam keadaan yang dimudahkan, diterima amal dan dijauhkan daripada fitnah manusia," katanya lagi.
Menerusi hantaran itu beliau turut berkongsi pengalaman di Madinah yang mana mereka berkesempatan menghadiri sesi ilmu bersama Sheikh Dr Omar Suleiman, Dr Tahir Wyatt dan Ustaz Dr Mohd Amirul Hassan Ahmaf Tajuddin. Nurul Izzah menyifatkan pertemuan dengan tokoh ilmuan Islam itu sebagai pengalaman yang sangat menyentuh hati.
Comments