
Pakej internet murah yang diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil semalam yang cuba dijadikan bahan pertikaian di media sosial termasuk mempersoalkan kelajuan internet dijawab oleh beliau malam tadi juga.
Menurut Fahmi, banyak warganet menurunkan komen tanpa mengetahui pakej yang diwujudkan oleh kerajaan terdahulu.
Katanya banyak pengguna internte yang berkata, “Alah, 3 Mbps je? Bukan ke kita dah ada Jendela??” namun Fahmi lebih suka fakta berbicara.
"Bagi pakej lama kita bayar RM30 untuk tempoh 3 bulan iaitu RM10 per bulan dengan kuota 20GB dan kelajuan 1Mbps sahaja. Hanya untuk (lingkungan umur) 12 - 24 tahun.
"InshaAllah bermula Februari 2023, telco-telco (syarikat telekomunikasi) akan menyediakan pelan prabayar baharu di mana kita bayar RM30 untuk 6 bulan iaitu RM5 per bulan dengan kuota 30GB dan kelajuan 3Mbps.
"Kini lebih ramai termasuk B40, OKU, veteran, dan (lingkungan umur) 12 - 30 tahun boleh guna," katanya dalam catatan di Facebook.
Sejurus selepas pengumuman petang semalam terdapat usaha pihak tertentu untuk mengelirukan pakej internet mudahalih (mobile) yang diperkenalkan termasuk membandingkan dari segi kelajuannya dengan talian tetap yang lebih tinggi.
Bagaimanapun tohmahan tersebut terjawab apabila dibentangan fakta pakej internet Jendela kerajaan lalu yang diperkenalkan sejak tahun 2020.
