Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan sebanyak RM551.56 juta untuk Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bagi membantu rakyat yang terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ketika ini.
Katanya, peruntukan itu berteraskan tiga strategi meliputi 25 program yang akan memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat Selangor.
Strategi pertama adalah menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat.
"Antaranya program bakul makanan, bantuan kewangan kepada pesakit Covid-19 yang meninggal dunia, bantuan RM500 kepada Orang Kurang Upaya (OKU), moratorium usahawan Hijrah Selangor, penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran bagi graduan tahun 2021, bantuan khas pengusaha tadika dan guru pendidikan awal, bantuan mahasiswa Selangor, data Internet Selangor serta skim Internet Selangor M40," katanya.
Strategi kedua pula adalah menyelamatkan industri dan sektor ekonomi serta usahawan di Selangor.
"Kerajaan negeri memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM200 juta kepada program Selangor Advance yang akan disumbangkan oleh simpanan tetap tunai agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, serta anak-anak syarikat Kerajaan Negeri bagi sama-sama meningkatkan sokongan di dalam ekosistem Kerajaan Negeri ini sendiri di mana pelaburan ini akan memberi manfaat kepada PKS dan pelabur.
"Pada masa sama, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan melaksanakan Program Agro Prihatin untuk membeli hasil segar dan akan dijual semula kepada orang ramai dengan diskaun 50 peratus. Inisiatif ini akan membantu lebih 200 penternak, petani, nelayan serta orang ramai dengan peruntukan RM 1.5 juta.
Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM1.3 juta untuk program peningkatan hasil komuniti petani dan penternak, RM 80 juta bagi membantu 8,000 usahawan dengan modal awalan bagi memulakan perniagaan menerusi Yayasan Hijrah Selangor, pelancaran Platform Selangor untuk penjaja dan peruncit serta RM2.55 juta untuk sektor pelancongan," katanya.
Manakala strategi ketiga adalah kawalan kesihatan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.
"Ini menerusi ujian saringan Covid-19 komuniti fasa 3, RM1.25 juta untuk inisiatif ‘Home Assessment Kit’ ataupun kit penilaian di rumah bagi mengurangkan kes Brought In Dead (BID) di Selangor, rebat RM20 menerusi perkhidmatan Grab yang memesan pengangkutan untuk tujuan perjalanan mendapatkan suntikan vaksin, serta peruntukan RM 500,000 bagi operasi pematuhan dan kawalan kesihatan industri bagi mengawal penularan di tempat kerja," katanya.
コメント