top of page

Pakej badal haji murah sukar dilaksanakan akibat dasar baharu Arab Saudi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 hours ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar menyemak kesahihan sebarang tawaran badal haji yang diiklankan secara meluas di surau, masjid dan platform media sosial oleh agensi pelancongan atau individu bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata, pakej perkhidmatan badal haji yang ditawarkan adalah sukar dilaksanakan secara komersial kerana setiap jemaah haji, termasuk penduduk tempatan di Arab Saudi, kini perlu memiliki visa haji yang sah untuk menunaikan haji.


Katanya, kebanyakan pakej badal haji ditawarkan pada harga yang tidak munasabah, kerana jauh lebih rendah berbanding kos sebenar yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk seseorang menunaikan haji secara sah.


"Kerajaan Arab Saudi mewajibkan setiap jemaah luar negara memiliki visa haji yang sah, manakala penduduk tempatan perlu mendapatkan permit khas dan tidak semua permohonan akan diluluskan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.


"Kos terendah pakej haji untuk penduduk tempatan adalah sekitar SR10,000 atau RM11,300, yang hanya merangkumi permit dan khemah di Masyair. Kos ini tidak termasuk kos penginapan, makanan dan pengangkutan.


"Orang ramai perlu lebih bijak menilai iklan tawaran badal haji serendah RM1,500. Saya menasihatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan perkhidmatan badal haji secara komersial demi mengelakkan penipuan dan kerugian," maklum beliau dalam satu kenyataan.


Dr Zulkifli berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan peraturan berkuat kuasa terhadap individu atau syarikat pelancongan yang terlibat dalam penipuan perkhidmatan pakej haji dan badal haji.


Ujarnya, orang ramai dinasihatkan agar segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki atau menjadi mangsa penipuan, supaya siasatan dan tindakan perundangan dapat diambil dengan sewajarnya bagi melindungi kepentingan pengguna serta memastikan integriti industri pelancongan negara terus terpelihara.


"Pada musim haji 1447H/2026 yang akan datang, Kerajaan Arab Saudi akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat di mana sekiranya jemaah haji ditangkap menggunakan visa atau permit yang tidak sah akan berdepan hukuman denda, penjara dan akan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi untuk tempoh beberapa tahun," katanya.


Hal itu, menurut beliau, amat menyukarkan individu untuk melakukan badal haji meskipun mereka berada di Arab Saudi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page