Politik Malaysia yang tidak menentu sejak 10 bulan kebelakangan ini memerlukan pendekatan baharu untuk menyelesaikannya.
Menurut penganalisis politik, Dr Mazlan Ali, sebarang formula boleh dicuba ketika mana dijangkakan tidak ada parti yang akan memperolehi majoriti mencukupi membentuk kerajaan sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dalam tempoh terdekat, atau pun sehingga tamat penggal.
Katanya, tidak mustahil musuh politik sebelum ini seperti Pakatan Harapan (PH) akan melakukan kerjasama dengan Umno dan menjadi satu pakatan baharu menghadapi PRU ke 15.
Biarpun DAP dianggap tidak diterima dalam kalangan penyokong Umno, kata Dr Mazlan, namun sekiranya terdapat keazaman politik maka kerjasama tetap boleh dilakukan dengan formula tertentu.
"Kemungkinan Umno akan bekerjasama dengan PH itu tetap ada walaupun DAP dianggap faktor penghalang kerjasama ini.
"Bagaimanapun, politik adalah sesuatu yang dinamik dan elastik.
"Tidak mustahil kerjasama keduanya (PH-Umno) akan berlaku dan jika beberapa perbezaan yang wujud di antara PH dan Umno dapat diatasi," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Bagaimanapun, Dr Mazlan berpendapat, situasi di dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) akan lebih bercelaru sekiranya Umno ingin meneruskan hasrat bekerjasama dengan PH.
Malah ketika ini pun, menurut beliau, soal pembahagian kerusi dilihat menggugat kerjasama dalam perikatan kerajaan tersebut.
Cuma menurut Dr Mazlan, pemimpin Pas tidak akan meninggalkan Bersatu dan mengikut kehendak Umno untuk hanya membahagi-bahagikan kerusi di dalam Muafakat Nasional.
"Saya menjangkakan Pas akan kekal bekerjasama dengan Bersatu kerana ikatan antara kedua parti ini sangat erat, dan kerjasama antara Pas serta Bersatu dijangka boleh membawa sokongan yang besar kepada PN dalam PRU-15.
"Realitinya memang terdapat beberapa pemimpin Umno enggan bekerjasama dengan Bersatu, tetapi secara terbuka mahu bekerjasama dengan Pas.
"Sebenarnya, keadaan ini akan memberi dilema yang besar kepada Pas kerana Bersatu sangat penting kepada Pas, sedangkan Umno menolak Bersatu," katanya.
Pembahagian kerusi yang tidak lancar di dalam PN, sekiranya Umno tidak bekerjasama dengan PH sekali pun, pada pendapat penganalisis politik, mungkin akan mencetuskan pertandingan tiga penjuru di antara BN, PN dan PH.
Tidak sebagaimana di Sabah pertandingan tiga penjuru kekal memberi manfaat kepada PN, di Semenanjung pertandingan seperti itu lebih merugikan gabungan itu yang terpaksa menghadapi BN di kerusi-kerusi Melayu.
Kommentare