Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan keyakinan bahawa gabungan itu akan terus menjadi pilihan rakyat untuk mentadbir negeri tersebut selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurut Naib Presiden KEADILAN itu, keyakinan tersebut berdasarkan pemerhatiannya terhadap sokongan yang ditunjukkan rakyat negeri berkenaan yang terus memilih gabungan itu sejak 2008.
"Dapatan yang dibuat Dr Ong Kian Meng (Bendahari DAP Selangor) mendapati undi bukan Melayu ke atas PH agak tinggi (pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu).
"Malah, undi orang Melayu juga tinggi untuk kita. Kalau tidak, tak kan kita menang di Parlimen Gombak dan Ampang pada November lalu," katanya.
Amirudin sebelum itu hadir pada Konvensyen Tahun DAP Selangor 2023 di Grand Centro Ballroom, Klang.
Walau bagaimanapun jelasnya, kerja kuat masih perlu dilakukan untuk memenangi kerusi-kerusi Parlimen di bahagian Selangor Utara susulan keputusan PRU-15 sebelum ini yang memihak kepada PN.
Namun peluang untuk PH menawan semula beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tewas sebelum ini, seperti di Batang Kali dan Jeram terbuka susulan kerjasama antara Barisan Nasional dan PH di peringkat pusat serta negeri.
Comments