top of page

Pakatan Harapan masih teliti calon PRK Kuala Kubu Bharu - Anwar

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Apr 12, 2024
2 min read


Pakatan Harapan (PH) masih lagi meneliti senarai calonnya yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang akan berlangsung pada 11 Mei ini.


Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini beliau belum lagi berbincang mengenai calon yang akan mewakili PH bagi pilihan raya kecil tersebut.


"Saya belum berbincang dengan sesiapa mengenai perkara itu (PRK)," kata Pengerusi PH itu secara ringkas kepada pemberita semasa menghadiri Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan solat Jumaat di Masjid Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor hari ini.


Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status calon PH bagi PRK itu yang akan diadakan pada 11 Mei ini.


Pada 4 April lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 27 April dan 7 Mei.


Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac lepas.


Lee, 58, yang menguasai kerusi di bawah Parlimen Hulu Selangor itu sejak 2013, meninggal dunia selepas beberapa tahun bergelut melawan kanser.


Pada PRN Ogos lalu, beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.


Kali pertama beliau memenangi kerusi Kuala Kubu Baharu pada pilihan raya umum 2013 dalam pertarungan empat penjuru apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dan tiga lagi calon Bebas dengan majoriti 1,702 undi.


Beliau mengekalkan kerusi itu pada PRU 2018 apabila menewaskan calon MCA Wong Koon Mun dan calon Pas, Naharudin Abdul Rashid dengan majoriti 7,134 undi.


Laporan media pada 6 April lalu memetik Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo sebagai berkata kepemimpinan tertinggi PH bermesyuarat pada Ahad lalu untuk memuktamadkan pemilihan calon yang mewakili gabungan itu pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.


Beliau yang juga Pengerusi DAP Selangor mengesahkan calon DAP akan mewakili PH-Perpaduan pada PRK tersebut dengan beberapa nama dikemukakan untuk penilaian, termasuklah daripada sayap wanita.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page