Pakaian hitam sambut Hari Kebangsaan: Jangan politikkan kes Zara Qairina
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menegur Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang mencadangkan supaya rakyat berpakaian hitam pada sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sebagai tanda solidariti terhadap kes Allahyarhamah Zara Qairina.
Dalam kenyataannya, AMK Sabah menegaskan bahawa tragedi menimpa Zara Qairina merupakan isu kemanusiaan yang perlu ditangani dengan penuh empati, bukan dijadikan alat politik.
“Tragedi kematian Zara Qairina adalah isu kemanusiaan yang perlu ditangani dengan penuh empati dan penghormatan, bukannya dijadikan alat untuk meraih kepentingan politik melalui simbol-simbol protes yang boleh mencemarkan suasana perayaan bersejarah negara," kata kenyataan itu.
Menurut AMK Sabah, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia merupakan detik keramat yang harus diraikan dengan patriotisme, kesyukuran serta kecintaan kepada tanah air, selain menjadi wadah penyatuan rakyat, bukan sebaliknya.
Walaupun begitu, AMK Sabah turut merakamkan simpati dan solidariti kepada keluarga mangsa.
"AMK mengakui bahawa rakyat Malaysia mahukan keadilan ditegakkan sepenuhnya dalam kes berkenaan," tegasnya.
Sehubungan itu, AMK Sabah dalam masa sama mengingatkan masyarakat agar berhati-hati menapis maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya, khususnya di media sosial.
"Penyebaran fakta yang tidak sahih, tegasnya, boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan kelancaran siasatan. AMK Sabah menyeru semua pihak memberikan sepenuh kepercayaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyempurnakan siasatan secara telus dan berlandaskan undang-undang tanpa sebarang tekanan luar yang tidak berasas," tambahnya.
AMK Sabah juga menegaskan keyakinan bahawa proses siasatan yang sedang dijalankan akan menghasilkan keputusan yang adil buat Allahyarhamah Zara Qairina.
Pada masa sama, rakyat diseru mengekalkan semangat patriotisme menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia demi memelihara keharmonian negara.
Comments