Pak Samad terus jadi inspirasi generasi muda - Dr Wan Azizah


Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan karya peninggalan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr A. Samad Said sebagai khazanah kesusasteraan yang akan terus menjadi inspirasi kepada generasi muda.
Menurutnya, pemergian tokoh berkenaan merupakan kehilangan besar kepada negara, namun sumbangannya dalam dunia kesusasteraan akan terus dikenang.
"Beliau meninggalkan legasi menerusi karya-karyanya yang akan diwarisi anak-anak muda.
"Jangan lupa, inilah salah seorang penerima pengiktirafan Nobel Laureate kita, yang dikenali sebagai Pak Samad," katanya dipetik laporan media.
Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ditemui pemberita selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di Kuala Lumpur semalam.
Beliau sementara itu mendedahkan, Sasterawan Negara keempat itu turut menjadi individu yang memberikan sokongan dan semangat kepada keluarganya ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara.
"Dia memberikan sokongan dan pertolongan ketika kami dalam kesusahan, terutama ketika Perdana Menteri berada dalam penjara.
"Pak Samad menjadi inspirasi dan semangat untuk terus merealisasikan apa yang kami perjuangkan, iaitu keadilan dan usaha membangunkan negara ke arah lebih baik.
"Beliau mempunyai pendekatan tersendiri yang cukup unik. Sebab itu, pemergiannya satu kehilangan buat negara," katanya.




Comments