Kejadian paip pecah di parlimen Pasir Gudang menyebabkan penduduk terputus bekalan air sejak Jumaat lalu mungkin pulih pada petang ini berdasarkan kemajuan kerja kerja pembaikan kerosakan.
Penyandang parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim yang bertemu pegawai operasi syarikat bekalan air Johor, Ranhill SAJ di lokasi paip pecah petang tadi memberi tahu bahawa kerja kerja kimpalan sedang giat dijalankan.
Katanya, sekiranya hari tidak hujan dan kerja kerja berjalan lancar maka bekalan air akan disambung secara beransur ansur mulai petang ini.
"Saya bercakap tadi dengan pegawai operasi SAJ, mereka menyatakan bahawa kerja kerja kimpalan satu paip yang pecah sedang dimulakan.
"Dia percaya kalau cuaca baik mungkin petang ini bekalan air boleh disambung semula perlahan lahan," ujarnya dalam satu siaran media.
Selain itu, Hassan berkata pihak Pejabat Parlimen Pasir Gudang juga ada menawarkan kepada Exco Kerja Raya Johor satu kontraktor yang berpengalaman dalam kerja kerja pembaikan paip sekiranya diperlukan.
"Dia kata pejabat parlimen tawarkan untuk membantu kerja kerja pembaikan. Dia kata SAJ sebagai memberi nasihat (kerja kerja pembaikan) tetapi yang menbuat itu adalah kontraktor swasta. Jadi dia tak mahu ada (kontraktor lain) campur," katanya.
Terputusnya bekalan air di Pasir Gudang sebelum ini telah tular sebagai salah satu kempen pilihan raya Umno BN yang menyerang Pakatan Harapan di media sosial memaparkan pelbagai video pasukan biru gelap itu memberi bantuan bekalan air kepada penduduk terjejas.
Bagaimanapun, netizen tidak puas hati dengan tindakan ahli politik menggunakan isu paip pecah sebagai bahan kempen kerana tidak wajar penderitaan penduduk dijadikan bahan meraih undi dalam Pilihan Raya Umum
Sebelum ini, Hassan juga ada mengeluarkan video menjawab kononnya tiada usaha membantu penduduk yang terjejas.
Video itu menunjukkan kompilasi lawatan Hassan menemui penduduk terjejas sambil membantu membawa bekalan air mereka.
Video juga menunjukkan Hassan dan KEADILAN Pasir Gudang menghantar air ke satu kawasan terjejas di Taman Megah Ria.
Dalam pada itu, Hassan dipetik Malaysiakini semalam mengkritik SAJ kerana dianggap tidak cekap menguruskan bantuan yang sepatutnya diberikan kepada penduduk terjejas.
Antara lain, Hassan berkata, SAJ tidak mengeluarkan jadual penghantaran air ke kawasan terjejas, malah selepas empat hari gangguan berlangsung, jumlah lori tangki air yang dihantar oleh syarikat konsesi itu masih tidak mencukupi.
"Saya mencadangkan SAJ menyewa lebih banyak lori tangki air persendirian. Cadangan itu diterima tetapi sehingga hari ini tiada apa-apa," katanya
Hassan juga mempersoalkan dakwaan SAJ akan mendapatkan bantuan tangki air dari Melaka yang tidak menjadi kenyataan.
Comments