Penyasaran semula subsidi RON95 guna data PADU sebagai rujukan
- Suara Keadilan
- Aug 4
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Satu garis panduan perkongsian data di bawah inisiatif Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) telah diwujudkan dan diedarkan kepada semua agensi kerajaan pada 25 Februari lalu bagi menggalakkan amalan pembuatan keputusan yang berpacukan data.
Pemangku Menteri Ekonomi, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (gambar) berkata, pada masa ini kerajaan menumpukan kepada penggunaan data terkini bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
''Sesi penerangan kepada pihak kementerian, agensi, Kerajaan Negeri, dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah dilaksanakan dari Februari hingga Jun tahun ini bagi meningkatkan kefahaman tentang penggunaan data.
''Sehingga kini, sembilan permohonan daripada pelbagai agensi telah diluluskan bagi tujuan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dasar dan inovasi pendigitalan perkhidmatan.
''Di samping itu, mekanisme penyasaran semula subsidi RON95 yang sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan (MOF), juga akan menggunakan data PADU sebagai rujukan,'' katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) berhubung perancangan Kementerian Ekonomi terhadap sistem PADU, jumlah data yang dikumpul sehingga Jun 2025, serta kesediaan kerajaan melaksanakan audit berkala oleh badan bebas seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau MAMPU bagi menjamin ketelusan dan tadbir urus sistem.
Menjelaskan lebih terperinci, Amir Hamzah yang juga Menteri Kewangan II memaklumkan bahawa sistem PADU turut melalui proses penilaian oleh pasukan luar bagi aspek pengurusan data, pembangunan sistem dan tadbir urus.
Katanya, sistem berkenaan telah dibangunkan sepenuhnya dengan menggunakan kepakaran penjawat awam.
Oleh itu ujar Amir Hamzah, pembangunan dan pelaksanaan sistem tersebut mematuhi akta, arahan dan pekeliling yang sedia berkuat kuasa.
Comments