Pendaftaran sistem Pangkalan Data Utama (PADU) perlu diteruskan seperti biasa di Sarawak.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, kenyataan kerajaan Sarawak dan memo residen yang dikeluarkan baru baru ini melarang pendaftaran PADU hanya terhad kepada kakitangan di bawah Kerajaan Negeri yang tidak dibenarkan terlibat dalam urusan sistem berkenaan.
"Memo itu tidak terpakai terhadap pegawai dari Jabatan Perangkaan atau Jabatan Penerangan (agensi Persekutuan), atau mungkin ada pegawai lain ditugaskan dari Kerajaan Persekutuan masuk ke kampung sebagai tenaga pendaftar.
"Saya difahamkan Jabatan Perangkaan Sarawak belum dapat surat arahan menghentikan, oleh itu saya minta rakyat Sarawak bersabar, bertenang, teruskan mendaftar dan mengemaskni PADU seperti biasa.
"Kita kena faham tujuan pendaftaran PADU ini supaya subsidi bersasar akan berjalan lancar dan juga adil supaya golongan memerlukan akan menerimanya," katanya dalam satu siaran media.
Beliau juga tidak bersetuju tanggapan sesetengah pihak menyatakan usaha membantu rakyat hanya berdasarkan sistem PADU itu sahaja.
Katanya, bantuan masih diberikan kepada sesiapa yang layak.
"Saya tidak tahu apa berlaku di sebalik memo ini tetapi cukup untuk saya sampaikan pesan rakyat di Sarawak untuk mengurangkan kegelisahan mereka yang sudah mendaftar, kemaskini atau bagi mereka yang sudah siap untuk mendaftar
"Memang jelas fasa pertama bantuan kerajaan mengikut panduan maklumat PADU tetapi itu bukan kesudahan kepada sesuatu. Ia fasa pertama sahaja. Segala proses (kumpul maklumat untuk bantuan) ini masih berterusan," katanya lagi.
Kontroversi berkaitan pendaftaran PADU bermula kelmarin apabila kerajaan Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat berkait maklumat peribadi yang diminta sistem itu kerana mendaftar dengan PADU ibarat 'menelanjangkan diri' apabila mendedahkan semua butiran peribadi individu termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini berikutan timbul keraguan berhubung maklumat peribadi individu.
留言