top of page

Padang Merbok dikembalikan kepada rakyat, jadi pusat rekreasi warga kota

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Hannah Yeoh dalam sidang media sempena pembukaan pagar Padang Merbok. Foto FB Hannah Yeoh
Hannah Yeoh dalam sidang media sempena pembukaan pagar Padang Merbok. Foto FB Hannah Yeoh

Padang Merbok yang kontroversi dan dipagar oleh kerajaan terdahulu selepas demonstrasi para peguam membantah penutupan Parlimen selepas negara diisytihar darurat berikutan pandemik Covid 19 pada 2020, kini dibuka semula sepenuhnya kepada orang awam mulai 14 Januari lalu, sekali gus mengembalikan akses kepada ruang hijau bersejarah yang menjadi lokasi rekreasi, riadah dan aktiviti komuniti di tengah bandar Kuala Lumpur.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, kerajaan komited memastikan padang itu terus dipelihara sebagai ruang awam yang inklusif dan selesa untuk aktiviti sukan, rekreasi serta perhimpunan komuniti.


"Sejak generasi ke generasi, Padang Merbok merupakan sebahagian penting daripada kehidupan Kuala Lumpur, berfungsi sebagai lokasi sukan, rekreasi dan perhimpunan aman.


"Penutupan berpanjangan telah menafikan rakyat daripada menggunakan ruang awam yang signifikan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu Hannah bersama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud turun padang ke Padang Merbok bagi meninjau keadaan kawasan serta kemudahan sedia ada termasuk aspek akses, keselamatan dan kesesuaian penggunaan oleh orang awam.


Kawasan itu telah dipagar sekitar Ogos 2022 di bawah pentadbiran Perikatan Nasional dan ia telah diturunkan sepenuhnya pada 14 Januari lalu.


Hannah berkata Kerajaan MADANI komited membetulkan perkara yang tidak wajar dan langkah itu dimulakan dengan mengembalikan Padang Merbok kepada pemilik sebenar iaitu rakyat.


Terletak berhampiran Dataran Merdeka dan Parlimen, Padang Merbok mempunyai nilai nasional yang tersendiri, menjadi titik pertemuan semula jadi antara kehidupan komuniti dan ekspresi demokrasi, kata beliau.


Katanya Kuala Lumpur kini berdepan tekanan akibat kesesakan trafik, peningkatan pelancongan dan penganjuran acara awam berskala besar yang memberi kesan kepada ruang awam sedia ada.


Justeru itu jelas Hannah melalui usaha memulihkan padang bersejarah itu, kerajaan menyediakan lokasi yang lebih selamat dan mudah diakses untuk rakyat berkumpul, sambil mengurangkan kesesakan dan melindungi kawasan warisan berdekatan.


"Ruang awam mesti berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk kuasa.


"Padang Merbok kini dibuka semula dan tepat di tempat yang sepatutnya," ujarnya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page