PAC digesa siasat dakwaan KKDW berbelanja melebihi peruntukan


Seorang Ahli Parlimen menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat dakwaan perbelanjaan berlebihan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memastikan tatacara kewangan kerajaan dipatuhi dan amalan itu tidak terus berulang.
Chong Zhemin (PH-Kampar) berkata, isu berbelanja melebihi peruntukan perlu perhatian serius kerana jika amalan sama berlaku di semua 30 kementerian, kerajaan berisiko menanggung lebihan perbelanjaan sehingga RM100 bilion setahun.
"Kalau kita berbelanja lebih 25 peratus dan meminta tambahan peruntukan daripada Perbendaharaan, bermakna setiap tahun kita akan terlebih belanja RM100 bilion.
"Adakah kita mampu menampung perbelanjaan berlebihan sebanyak setengah trilion ringgit atau RM500 bilion dalam tempoh lima tahun? Ini angka yang cukup besar," dipetik di Dewan Rakyat.
Beliau membuat gesaan itu ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa bagi KKDW pada Khamis.
Mengikut rekod MoF, sejak tahun 2023, perbelanjaan KKDW melebihi peruntukan sebenar iaitu RM1.8 bilion (perbelanjaan) berbanding RM1.1 bilion (peruntukan); diikuti RM2 bilion perbelanjaan melebihi RM1.3 bilion (2024) dan RM2.3 bilion berbanding RM1.6 bilion (2025).
Bagi 2026, perbelanjaan KKDW setakat ini adalah pada RM1.9 bilion berbanding RM2.1 bilion peruntukan sebenar.
Chong sementara itu turut mempersoalkan sama ada perbelanjaan melebihi peruntukan asal itu dibenarkan mengikut tatacara kewangan serta tindakan akan diambil terhadap kementerian berkenaan.
Beliau juga minta KKDW menyenaraikan tunggakan dan projek terpaksa dikorbankan susulan dakwaan pembatalan projek di Sabah dan Sarawak.




Comments