top of page

P Pinang tidak abaikan kebajikan nelayan terlibat projek Pulau Silikon

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 24, 2025
  • 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan dakwaan kononnya tiada penyelesaian terhadap isu nelayan yang terkesan dengan projek Pulau Silikon di negeri itu.


Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi negeri, Fahmi Zainol (gambar) menegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan kebajikan nelayan menerusi pelaksanaan pelbagai bentuk ganti rugi secara berterusan di bawah Pelan Impak Sosial projek tersebut bagi memastikan kepentingan nelayan terkesan terbela.


Justeru, dakwaan seorang pemimpin pembangkang baru-baru ini bahawa ratusan nelayan masih berdepan tekanan termasuk kejatuhan hasil tangkapan dan kelewatan pampasan adalah tidak berasas.


"Isu yang dibangkitkan pembangkang baru-baru ini berpunca daripada salah faham nelayan yang kemudian diperguna untuk tujuan politik.


"Pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia telah diminta untuk memberi penjelasan secara bersemuka kepada nelayan yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan.


Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan (ADN) Pantai Jerejak sementara itu memaklumkan, pelaksanaan bantuan bot dan enjin dilaksanakan secara berfasa, dengan nelayan yang memiliki bot daif menerima bantuan lebih awal, iaitu sebelum kelulusan muktamad projek.


Manakala semua tekong berlesen dan aktif di zon hadapan projek juga menerima bantuan sepenuhnya, manakala penghantaran kepada baki unit nelayan diteruskan dengan sasaran tujuh bot sebulan bagi setiap unit.


"Sehingga kini RM11.8 juta bayaran ex-gratia telah disalurkan kepada 795 nelayan, selain bantuan pendidikan, penubuhan koperasi komuniti serta pembaharuan 90 peratus lesen nelayan.


"Daripada 905 nelayan yang layak, seramai 877 orang atau 97 peratus telah mendaftar sebelum pendaftaran ditutup pada 31 Mac 2024, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan komuniti nelayan," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page