P Pinang teruskan insentif tunai pemandu teksi, pengusaha bas sekolah
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Pulau Pinang terus memperkukuh kebajikan pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah di negeri itu.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari (gambar) berkata, sehubungan itu Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian insentif tunai kepada semua pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah di negeri itu bagi memastikan kelangsungan pendapatan mereka.
Menurut beliau, bayaran sekaligus berjumlah RM600 itu akan disalurkan kepada pemandu teksi serta pengusaha bas sekolah yang memenuhi syarat ditetapkan bermula Mac ini.
"Bantuan tunai tersebut akan dikreditkan terus ke akaun penerima melalui kaedah Electronic Fund Transfer (EFT), dengan permohonan dibuat sepenuhnya secara dalam talian tanpa keperluan menghantar dokumen fizikal.
"Kerajaan Negeri berharap sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah, di samping memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat dan berkualiti terus diberikan kepada rakyat," katanya dalam kenyataan.
Antara syarat kelayakan bagi inisiatif itu ialah pemohon merupakan warganegara Malaysia, berdaftar sebagai pengundi di Pulau Pinang, berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta memiliki Kad Pemandu.
Senarai penuh syarat ditetapkan bagi permohonan inisiatif itu boleh dilayari di laman sesawang iSejahtera https://isejahtera.penang.gov.my/syarat.php.
Sementara itu Zairil memaklumkan, inisiatif berkenaan telah dilaksanakan secara konsisten sejak 2013 dan kini memasuki tahun ke-11 pelaksanaannya.
Sehingga tahun lalu, jumlah keseluruhan peruntukan disalurkan ialah mencecah RM18.32 juta.





