P Pinang perkasa industri halal menerusi penubuhan MPIHPP
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menubuhkan Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP), sekali gus melakar sejarah sebagai negeri pertama mengambil langkah strategik memperkukuh sektor halal.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, penubuhan MPIHPP mencerminkan komitmen negeri untuk mengangkat Pulau Pinang sebagai hab utama pengeluaran, pemprosesan, dan pengeksportan produk halal ke pasaran ASEAN dan antarabangsa.
"Penubuhan ini sejajar dengan dasar nasional termasuk Dasar Halal Malaysia dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, bertujuan memperkukuh tadbir urus halal secara sistematik, telus dan bersepadu.
"Ia akan memperluas jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, pemain industri, komuniti dan institusi pendidikan tinggi serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan sektor halal yang inklusif, berimpak tinggi dan berorientasikan eksport," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran MPIHPP di Butterworth pada Isnin.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang menjadi negeri pertama melaksanakan pengauditan peranti perubatan berdasarkan kesemua sembilan Skim Pensijilan Halal Malaysia (SPHM), dengan 870 syarikat aktif memiliki sijil halal setakat April lalu.
Bagi memperkukuh ekosistem halal negeri, Penang Halal International (PHI) turut ditubuhkan di bawah Unit Perbadanan Ketua Menteri (CMI), berperanan membangunkan pensijilan halal, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta menarik pelaburan domestik dan antarabangsa dalam sektor berkenaan.
Terdahulu pada majlis itu, satu Memorandum Persefahaman antara Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) dengan PHI turut dimeterai bagi menjalin kerjasama serta meninjau peluang untuk membangun, menyokong dan memperkasa program pembangunan usahawan melalui pensijilan halal.
Comments