P Pinang perhebat pembangunan menerusi 122 projek sambungan
- Suara Keadilan
- 6 days ago
- 1 min read

Kerajaan Pulau Pinang komited untuk terus membangunkan negeri itu menerusi pelaksanaan 122 projek sambungan pada 2026.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow (gambar) berkata, beliau berharap projek-projek merangkumi infrastruktur awam, kemudahan masyarakat serta projek khas ekonomi melalui kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan dapat direalisasikan dengan lancar.
"Sebagai negeri pesat membangun, keperluan terhadap infrastruktur moden dan sistem pengangkutan awam yang cekap semakin mendesak.
"Mobiliti yang baik bukan saja meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri, malah menyumbang kepada kualiti hidup lebih baik serta persekitaran lestari untuk generasi akan datang," katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu.
Antara projek tersebut antaranya Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua (JSD), pembinaan tiang projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan banyak lagi inisiatif lain.
Projek strategik lain ialah Penang IC Design and Digital Park, Penang Chip Design Academy dan Silicon Research and Incubation Space yang dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta menarik pelaburan syarikat teknologi global.
"Pulau Pinang dapat membina ekonomi yang bukan saja berdaya saing pada peringkat global, tetapi juga memastikan setiap keluarga hidup bermaruah, selamat dan sejahtera menjelang 2030," katanya.
Menerusi hantaran tersebut beliau turut menyeru semua jabatan dan agensi pelaksana untuk bekerjasama bagi memastikan setiap projek berimpak tinggi di bawah RMKe-13 dapat dilaksanakan dengan berkesan.





