P Pinang beri pampasan ke Kedah: Retorik populis Tun M kekal pengaruh politik
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila berpandangan Kedah wajar diberi pampasan oleh Pulau Pinang, satu dakwaan yang tidak pernah disebut sepanjang 22 tahun pemerintahannya, namun dibangkitkan kini ketika pengaruh politiknya semakin pudar, kata Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam (gambar).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu menyifatkan, hal itu merupakan satu ‘helah’ yang jauh tersasar daripada logik akal pemikiran.
"Seorang yang memerintah selama 22 tahun tanpa gangguan, tanpa sekali pun menyebut ‘tuntutan’ ini, kemudian tiba-tiba mahu menjadi juaranya sekarang?
"Ini bukan tentang Kedah, bukan tentang sejarah. Ini tentang Mahathir yang cuba berlagak hero kepada Sanusi (Menteri Besar Kedah), berharap dapat kekal relevan dengan mengulangi apa sahaja ‘omongan populis’ yang boleh mengekalkannya dalam kitaran berita untuk 2 minit lagi.
"Hari ini, beliau berlagak seolah-olah penjaga hak negeri, tetapi coraknya sentiasa sama iaitu menimbulkan isu, memutar naratif, dan mengharap rakyat melupakan rekodnya sendiri.
"Satu-satunya ‘sejarah’ yang Mahathir minat ialah sejarah yang boleh menghidupkan semula sisa-sisa relevansi politiknya yang kian malap," katanya dalam satu muat naik di Facebook.
Menurut Lokman, lebih menyedihkan ialah wujudnya kelompok politik yang masih bersorak mempertahankannya, sisa terakhir Mahathirisme yang kian tenat, namun tetap bersungguh-sungguh mengekalkan ideologi luput itu agar terus bernafas.
"Mereka berpaut kepadanya bukan kerana keyakinan, tetapi kerana tanpa dirinya, mereka tiada apa lagi untuk ditawarkan.
"Pada tahap ini, dakwaan Mahathir lebih menyerupai angan-angan tidak masuk akal seperti Kesultanan Sulu yang telah luput, berbanding hujah Perlembagaan yang kredibel.
"Sama ada beliau benar-benar percaya fantasi sebegitu atau sekadar semakin hanyut dalam keuzuran politik, itu terpulang kepada penilaian masing-masing.
"Mahathir boleh terus menjerit ke dalam kekosongan, tetapi negara ini tidak lagi membeli apa yang cuba dijualnya," kata Lokman lagi.
Tegas Lokman, usaha mencipta isu terbaharu oleh ahli politik veteran itu tidak akan memadam kegagalannya lalunya dan tidak akan menghidupkan kembali pengaruhnya yang pudar.
Kata beliau, era politik Mahathir sudah tamat dan negara ini jauh lebih baik di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.





