top of page

Otai Reformis mahu lihat reformasi dilaksana dalam pemerintahan - Dr Mujahid

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read
Dr Mujahid (kiri) bersama Otai Reformis yang berjuang sejak 1998
Dr Mujahid (kiri) bersama Otai Reformis yang berjuang sejak 1998

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan perhimpunan Otai Reformis petang tadi sebagai satu indikator penting untuk menilai sama ada semangat reformasi masih segar dalam landskap politik semasa negara.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Hari Keluarga & Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang yang juga merupakan program pertamanya bagi tahun ini.


"Saya sememangnya teruja untuk mendengar ucapan PMX dalam program tersebut untuk saya menguji deria 'rasa' saya sama ada semangat reformasi masih mekar dalam diri para reformis atau mula layu dari tangkainya," katanya dalam muat naik di media sosial.


Menurut Mujahid, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap bukan di hadapan penjawat awam, sebaliknya di hadapan penyokong teras reformasi yang setia bersama perjuangan itu ketika susah dan senang.


"Mereka adalah para pengikut setia ketika susah dan senang, malah saya dapat merasai sebahagian mereka menganggap cita-cita mereka menjangkau kepartian dan mereka dihimpun dengan satu matlamat lebih tinggi iaitu "reformasi!"


"Fokus mereka adalah reformasi, mereka akan jadi agak kritikal apabila reformasi dilihat layu, tak bermaya malah kelompok otai reformasi pun dikatakan punya perspektif berbeza-beza dalam menilai kejayaan Kerajaan Madani hari ini," katanya.


Mengulas sejarah perjuangan reformasi dunia, Mujahid mengingatkan bahawa tidak semua pejuang perubahan berakhir dengan legasi positif.


Katanya, sejarah membuktikan ada tokoh yang bermula sebagai pejuang rakyat tetapi akhirnya bertukar menjadi diktator sambil merujuk tokoh seperti Adolf Hitler, Benito Mussolini, Augusto Pinochet dan Muammar Gaddafi.


Namun, beliau berkata sejarah juga mencatatkan kisah kejayaan reformis yang meninggalkan legasi unggul dan menjadi inspirasi generasi kemudian.


"Ada cerita yang menggembirakan apabila pemimpin reformis melakar kejayaan dan nama mereka menjadi inspirasi untuk generasi reformis kemudian hari. Contoh di kalangan mereka seperti Mahatma Ghandi, Nelson Mendela, Martin Luther King, Den Xio Peng, Momahhan Singh dan Roosevelt.


"Mereka meninggalkan legasi reformasi melalui pandangan jauh mereka, menjadi faktor pemersatu dan hidup penuh integriti dan sederhana," jelasnya.


Mujahid yang merupakan sebahagian daripada generasi awal reformasi berkata perhimpunan tersebut sangat bermakna buat dirinya kerana dapat mengimbau perjuangan menuntut keadilan, termasuk isu pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


"Saya dapat merasai kesetiaan mereka dan komitmen mereka untuk melihat PMX melakar legasi kejayaan reformasi dijelmakan dan dilaksanakan, itulah doa mereka seharian," katanya.


Beliau turut mengakui dilema besar yang dihadapi oleh seorang reformis apabila berada di puncak kuasa, termasuk tekanan politik, cabaran institusi, persepsi awam serta gangguan sentimen kaum dan agama dalam era pasca-kebenaran.


Menurut Mujahid, perhimpunan otai reformis perlu dilihat sebagai isyarat untuk memperkukuh usaha reformasi pentadbiran, di samping memberi kepercayaan kepada Perdana Menteri untuk mengemudi cabaran yang kompleks.


"Saya amat meyakini Madani adalah niat dan tujuan murni PMX untuk kekalkan momentum reformasi dan menjayakannya justeru menjadi tanggungjawab para menteri dan pegawai-pegawai lantikan politik dan NGO pro reformasi memacu Madani dalam penggal ini, dan memahami hasrat besar perubahan yang diilhamkan oleh PMX untuk Malaysia," ujarnya.


Beliau turut menegaskan bahawa golongan otai reformasi wajar terus diberi ruang untuk bersuara dan memainkan peranan dalam menyokong serta menyebarkan fahaman Madani.


"Saya yakin reformasi akan terus segar-bugar jika semua kita bekerja ke arah itu," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page