top of page

“Otai mahu api Reformasi terus menyala, depani cabaran baharu”

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 2 min read

ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM) menegaskan komitmen untuk terus istiqamah mempertahankan dan memperjuangkan agenda Reformasi demi memastikan Malaysia dibangunkan atas asas keadilan, keluhuran Perlembagaan dan kemakmuran bersama rakyat.


Pengerusinya, Mustapa Mansor Amer Mohd Isa (gambar) berkata perjuangan Reformasi yang bermula lebih dua dekad lalu bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya merupakan perjalanan panjang yang dibina atas pengorbanan, ketabahan dan keyakinan tidak berbelah bahagi terhadap prinsip kebenaran dan keadilan.


"Kehadiran para pejuang Reformasi hari ini bukan sekadar pertemuan biasa, tetapi simbol perjalanan panjang yang dibayar dengan pengorbanan besar daripada podium pidato ke sel tahanan, sebelum kembali membina kepimpinan negara," katanya dalam ucaptama Program Hari Keluarga & Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang hari ini.


Menurut beliau, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa ideologi Reformasi bukan retorik semata-mata, sebaliknya diterjemahkan melalui dasar pemerintahan berprinsip seperti usaha merakyatkan ekonomi serta memperkukuh institusi negara di bawah Kerajaan Madani.


Mustapa turut merakamkan penghargaan kepada tokoh-tokoh dan pejuang Reformasi yang selama ini menjadi “kekuatan senyap” di belakang gerakan tersebut, termasuk para aktivis, peguam, ahli akademik, pengamal media dan rakyat biasa yang konsisten menyuarakan kebenaran meskipun tanpa sorotan populariti.


"Nama mereka mungkin tidak terpampang di headline, namun pengorbanan merekalah asas kepada setiap perubahan yang kita kecapi hari ini sehingga tertubuhnya Kerajaan Madani. Mereka adalah nadi kepada gerakan Reformasi yang tidak akan mati," ujarnya.


Beliau menegaskan, meskipun Reformasi telah mencapai kejayaan besar, perjalanan itu masih belum selesai dan berdepan cabaran baharu.


Justeru, katanya PKORM akan terus bergerak ke seluruh pelusuk negara bagi memastikan api perjuangan terus menyala sebagai pelita yang membimbing negara ke arah masa depan yang lebih adil, makmur dan bermaruah.


Mengulas cabaran dalaman gerakan Reformasi, Mustapa mengakui terdapat pihak yang kecundang di tengah jalan akibat tergiur dengan laba kuasa dan kedudukan, namun hal itu tidak akan melemahkan tekad para pejuang sebenar.


"Lawan tetap lawan yang kita zikirkan saban hari, minggu dan tahun telah membuahkan hasil ketika kita menjuarai sepak terajang politik di tanah air ini. Mari kita jadikan pertemuan ini sebagai penyemangat untuk terus bergerak, membina dan menyatukan.


"Marilah kita wariskan sebuah Malaysia yang bukan hanya berjaya dari segi ekonomi, tetapi juga unggul dari segi keadilan sosial, keluhuran perlembagaan, dan martabat insani," katanya.


Dalam masa sama, beliau menyatakan keyakinan bahawa dengan komitmen berterusan seluruh pejuang Reformasi, Kerajaan Madani akan terus diberi mandat rakyat dan mencapai kejayaan pada Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang.


"Yakinlah bahawa ribuan pejuang Reformasi masih hidup dan akan terus beriltizam mempertahankan agenda Reformasi seperti yang termaktub dalam Deklarasi Permatang Pauh. Insya-Allah," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page