top of page

'Ordinan Darurat 2021 tidak menyatakan Parlimen tidak boleh bersidang'

Updated: Jul 22, 2021


Ketetapan yang dipropagandakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kononnya Parlimen tidak boleh bersidang ketika perintah Darurat berkuatkuasa dianggap mengelirukan.


Menurut Timbalan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Adnan Seman, hakikatnya Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 tidak pernah menyatakan Parlimen digantung atau tidak dibenar bersidang.


"Kalau dilihat dalam ordinan itu sendiri, dengan jelas ia perlu dibentangkan kepada Parlimen di bawah Perkara 150 (2)(b) dan 150 (3) sebagaimana disebut.


"Kalau dirujuk Perlembagaan, Ordinan Darurat dikeluarkan di bawah Perkara 150 di mana Agong berpuas hati darurat besar sedang berlaku yang mengancam keselamatan dan ekonomi.


"Kita perlu meneliti Perkara 150 (3) dan 150 (2) (b). Kita pergi ke 150 (3). Kalau kita lihat (contoh) pada 1969, Parlimen dibubar pada 10 Mei (untuk pilihan raya umum). Pada 15 Mei satu Ordinan Darurat diisytiharkan oleh Agong.


"Kita jangan lupa ordinan itu hanya dibatalkan pada 20 Disember 2011. Lebih kurang 40 tahun. Sidang Parlimen tidak dipanggil dari 1969 hingga Februari 1971. Namun ada sikit perbezaan di sini (berbanding Darurat 2021).


"Parlimen dibubar (pada 1969) dan tidak pernah bersidang kerana kerajaan tidak dibentuk (akibat rusuhan 13 Mei). Majlis Gerakan Negara (Mageran) dibentuk dan dipengerusikan oleh Tun Razak. Mageran menerajui kerajaan di bawah Ordinan Darurat. Jadi dalam tempoh itu, tidak ada sidang Parlimen dipanggil.


"Ini berbeza dengan Ordinan Darurat 2021 yang tidak menyatakan (Parlimen tidak dipanggil). Tidak ada satu perkara (dalam Ordinan Darurat 2021) yang mengatakan Parlimen digantung atau tidak perlu bersidang.


"Malah dalam perkara (permasyhuran Darurat) saya bacakan, "dimasyhurkan di Istana Negara beta di Kuala Lumpur, ibu kota persekutuan pada 25 Mac 2021. Sultan Abdullah Ri ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah, Yang di-Pertuan Agong (akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan)...... . Ini adalah dokumen yang digazetkan dalam warta kerajaan.


"Jelas Ordinan Darurat ini akan dibentangkan di Parlimen," katanya dalam forum maya Studio Keadilan bertajuk "Melengahkan Buka Parlimen: Adakah Proses Undang-undang Disalahguna?", malam tadi..


Oleh itu, Adnan menegaskan bahawa pandangan Parlimen tidak boleh bersidang dalam keadaan Darurat tidak tepat malah Ordinan Darurat itu sendir, katanya, perlu di bawa ke Parlimen untuk dibentangkan dan disemak perkara-perkara yang diluluskan ketika Darurat berlangsung.


"Kalau dilihat Perkara 150 (3), menyatakan proklamasi darurat atau apa-apa ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal 2 (b) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua dewan Parlimen dan jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, maka hendaklah terhenti berkuatkuasa. Jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua majlis yang merungkai ordinan itu.


"Kalau soalannya ditanya adakah Parlimen boleh bersidang, jawapannya boleh. Ordinan Darurat dibatalkan pada 2011, berapa banyak persidangan Parlimen dalam tempoh darurat berkuatkuasa?


"Adakah sidang boleh ditangguhkan? Ini berkait soal (pentafsiran) Perlembagaan Persekutuan berkait Perkara 150 dan agak sukar kita bahaskan kerana ada pelbagai pandangan dari peguam dan pakar Perlembagaan. Tetapi yang penting Parlimen boleh bersidang," katanya lagi.


Menurut Adnan, secara praktikalnya Agong yang mengisytihar Darurat dan Agong juga dalam titah pada 24 Februari membenarkan Parlimen bersidang.


Hal itu bermakna Parlimen boleh bersidang. Kemudian titah Agong pada 16 Jun menguatkan lagi keperluan bersidang dengan segera.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page