Orang luar jangan tunggang isu Kampung Sungai Baru - Dr Zaliha
- Suara Keadilan
- Sep 13
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) mengingatkan semua pihak agar tidak cuba menunggang isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Tegasnya, tindakan tersebut tidak menguntungkan mana-mana pihak, sebaliknya hanya akan menjurus kepada ketidaktenteraman awam.
"Kerajaan mahu memastikan segalanya berlaku dengan tertib, namun saya amat kesal apabila ada pihak luar yang datang membuat provokasi dan mengganggu tugas penjawat awam.
"Malah, mereka bukan pun penduduk di kawasan tersebut," katanya dipetik dalam sidang akhbar di Putrajaya pada Jumaat.
Beliau sebelumnya mengulas tindakan provokasi sehingga menyebabkan kekecohan semasa operasi pengosongan dilaksana di tapak tersebut oleh pelbagai agensi penguat kuasa pada Khamis.
Insiden itu turut menyaksikan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera akibat desakan sekumpulan individu dipercayai bukan penduduk tempatan.
Mengulas lanjut Dr Zaliha menegaskan, operasi yang dilaksanakan adalah proses undang-undang berasaskan perintah mahkamah dan dijalankan oleh bailif dengan tata cara yang sah.
Beliau turut membidas propaganda pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengaitkan isu Sungai Baru dengan konflik luar negara seperti Indonesia atau Nepal.
"Penduduk sebenarnya tidak menolak pembangunan. Isu yang dibangkitkan hanyalah soal pampasan dan itu boleh dibawa ke mahkamah," jelasnya.
Pada sidang media tersebut beliau turut menegaskan kerajaan yang terbuka mendengar pandangan, namun mengingatkan setiap bantahan harus disalurkan melalui saluran yang betul, bukan dengan tindakan ganas atau provokasi.
"Matlamat utama kerajaan ialah meningkatkan keselesaan serta memartabatkan kehidupan penduduk, khususnya orang Melayu di kawasan itu," tambahnya.
Comments