Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menafikan laporan bahawa Orang Asal suku Mah Meri di Bagan Lalang diusir dari perkampungan mereka oleh syarikat milik kerajaan negeri, Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB).
Menurut Amirudin, kawasan yang bakal dibangunkan sebagai pusat pelancongan tersebut bukanlah perkampungan Orang Asal tetapi hanya pos sementara mereka sahaja.
"Tanah yang disebut bukannya perkampungan Orang Asli Mah Meri seperti yang didakwa tetapi hanyalah pos sementara untuk memudahkan pekerja Orang Asli yang berulang alik dari kampung asal mereka ke tempat kerja di Bagan Lalang," katanya dipetik.
Beliau menjelaskan, komuniti Orang Asal di kawasan itu telah bersetuju untuk mengosongkan tanah berkenaan dan telah menulis surat untuk memohon pelanjutan tempoh pengosongan.
Dalam perkembangan sama, PNSB sedia menimbang rayuan suku Mah Meri untuk diberi tempoh masa kepada mereka mengosongkan tanah di Bagan Lalang berdasarkan surat rayuan yang dihantar oleh batin Kampung Orang Asal Bukit Bangkong.
"Berdasarkan surat tersebut, PNSB terbuka dengan fasa perundingan yang terus berjalan dan bersedia mempertimbangkan rayuan pelanjutan masa dengan mengambil kira pelbagai aspek semasa.
"PNSB kekal komited dan telus dalam segala urusan. Harus difahami kawasan ini bukanlah penempatan asal suku Mah Meri dan segala keputusan yang akan diambil adalah mengikut tatacara dan lunas undang-undang,” kata PNSB dalam satu kenyataan .
Comments