Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Kesan 2024 bermula Jumaat bagi memantau kesan pelaksanaan kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Menteri berkenaan, Datuk Armizan Mohd Ali berkata Ops itu bagi memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan dari kenaikan cukai sebanyak 2% itu.
Melalui kenyataan pada Sabtu, beliau berkata operasi berkenaan digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
"Skop penguatkuasaan adalah meliputi sektor-sektor yang terlibat dengan kenaikan Cukai Perkhidmatan dan keseluruhan rantaian perkhidmatan yang berkaitan. Ini termasuk pemantauan kepada sektor yang tidak terlibat dengan kenaikan Cukai Perkhidmatan seperti makanan dan minuman.
"Tindakan tegas akan diambil sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan," katanya.
Melalui kenyataan sama Armizan berkata, pihak kementerian mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat dan bukti berkaitan sebarang tindakan kenaikan harga tidak wajar dilakukan di premis terlibat.
"Orang awam boleh mengemukakan aduan menerusi aplikasi WhatsApp pada nombor 019-848 8000 / 019-279 4317; portal e-Aduan KPDN melalui pautan http://eaduan.kpdn.gov.my; pusat panggilan: 1-800-886-800 atau menggunakan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN," kata kenyataan itu.
Bermula 1 Mac 2024, kadar baharu Cukai Perkhidmatan naik kepada 8% berbanding 6% seperti diumumkan dalam Pembentangan Belanjawan 2024 Oktober tahun lepas.
Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya.
Ia bagaimanapun tidak menjejaskan tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas dan gaya hidup rakyat di Malaysia.
Kenaikan itu terkecuali kepada makanan dan minuman dan telekomunikasi serta bagi perkhidmatan elektrik bawah kadar penggunaan 600 kilowatt sejam (kWj) serta pengguna perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan.
Commentaires