top of page

ONSA benteng media sosial: Kekang jenayah, lindungi kanak-kanak

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 3 hours ago
  • 3 min read

Pengenalan Akta Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Act, ONSA) mulai 1 Januari lalu oleh kerajaan adalah langkah terbaik bagi mengawal selia platform digital dan mengekang jenayah siber yang semakin membimbangkan, khususnya terhadap kanak-kanak dan remaja di media sosial seperti TikTok.


Ahli Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Johor, Dr Tamil Selvi Rajoo berkata, isu keselamatan dalam talian kini menjadi antara topik paling hangat apabila pendedahan kes eksploitasi, seksual dan penyalahgunaan kandungan melibatkan kanak-kanak semakin meningkat.


"Isu ini merupakan antara yang paling hangat ketika ini. Kanak-kanak sekolah rendah sepatutnya tidak perlu mempunyai akaun media sosial seperti TikTok atau Facebook kerana mereka belum arif tentang risiko, termasuk eksploitasi seksual dan penyalahgunaan imej yang boleh berlaku tanpa disedari.


"ONSA amat diperlukan bagi memastikan penyedia platform digital dan perkhidmatan internet dipertanggungjawabkan secara undang-undang terhadap keselamatan pengguna, khususnya golongan bawah umur," katanya kepada Suara Keadilan.


Beliau mengulas tindakan kerajaan memperkenalkan ONSA untuk mengawal selia penggunaan platform digital, termasuk keselamatan kanak-kanak dan pelaksanaan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan internet.

Dr Tamil Selvi Rajoo
Dr Tamil Selvi Rajoo

Dr Tamil Selvi menegaskan, akta itu memberi kuasa kepada pengawal selia untuk memastikan platform lebih bertanggungjawab dalam mencegah jenayah dalam talian termasuk penyamaran identiti, grooming dan kandungan berunsur seksual yang menyasarkan kanak-kanak.


"Kanak-kanak kadang-kadang berkongsi gambar atau kandungan sekadar untuk berseronok tanpa memahami implikasi jangka panjang.


"Tetapi pihak yang mengeksploitasi mereka memang berniat jahat. Di sinilah platform mesti dipertanggungjawabkan di bawah undang-undang," kata Dr Tamil Selvi Rajoo yang juga Ketua Wanita KEADILAN Cabang Kota Tinggi.


Beliau berkata, walaupun Malaysia menikmati kebebasan bersuara yang luas di media sosial, namun kebebasan tersebut tidak boleh disalahgunakan sehingga menjejaskan keselamatan kanak-kanak dan remaja.


Justeru, katanya, ONSA menjadi mekanisme penting bagi mencegah jenayah siber yang kini semakin berleluasa di aplikasi seperti TikTok serta platform sosial lain yang mudah diakses kanak-kanak.


Dalam masa sama, Dr Tamil Selvi menekankan perlindungan kanak-kanak di ruang digital memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan keluarga, sekolah dan masyarakat secara serentak.


Beliau turut memuji peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menyediakan saluran aduan dalam talian bagi kes penyamaran identiti, penyalahgunaan gambar dan kandungan berbahaya serta mengambil tindakan pantas terhadap laporan pengguna.


Dr Tamil Selvi menegaskan, penggubalan ONSA juga mencerminkan komitmen kerajaan memastikan ruang digital Malaysia kekal selamat tanpa menjejaskan kebebasan bersuara yang dinikmati rakyat.


"Malaysia bertuah kerana mempunyai kebebasan di media sosial berbanding banyak negara lain, tetapi kebebasan itu mesti datang dengan tanggungjawab. ONSA memastikan kebebasan ini tidak disalahguna sehingga mengancam keselamatan kanak-kanak.


"Dengan kuasa penguatkuasaan yang lebih jelas di bawah ONSA, platform digital akan dipaksa mengambil langkah pencegahan lebih tegas termasuk pemantauan kandungan, pengesahan identiti pengguna dan tindakan pantas terhadap akaun berbahaya.


"Apabila undang-undang meletakkan tanggungjawab terus kepada platform, mereka tidak lagi boleh lepas tangan terhadap jenayah seperti grooming dan eksploitasi. Ini penting untuk mengekang jenayah di TikTok dan media sosial lain sebelum mangsa bertambah," ujarnya lanjut.


Baru baru ini negara dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun beserta dua sebatan terhadap seorang lelaki warga Timor Leste, Rafinus Bata Tukang, selepas dia mengaku bersalah merogol seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun di sebuah bilik sewa di Inanam, Sabah.


Kes tersebut bermula daripada perkenalan singkat melalui aplikasi TikTok selama dua bulan, sebelum mangsa dilaporkan keluar dari rumah mengikut tertuduh pada Disember 2025 dan dirogol.


Hakim Monica Linsua menetapkan hukuman tersebut di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman berat bagi jenayah seksual, selain mengarahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran sejurus selepas tamat tempoh hukuman penjara yang bermula dari tarikh tangkapan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page