Nurul Izzah, Wajah Harapan, Pengalaman Dan Politik Mendamaikan
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 1 min read

Oleh: Sandy Z
ULASAN: Dalam gelombang perubahan dan kebangkitan semula idealisme reformasi, KEADILAN memerlukan figura yang bukan sahaja memahami perjuangan sejak mula tetapi juga diyakini untuk memimpin dengan hati dan akal. Seorang yang tidak asing kepada denyut nadi rakyat dan cabaran parti.
Nurul Izzah Anwar adalah salah satu pilihan tepat untuk jawatan Timbalan Presiden KEADILAN.
Sebagai antara perintis reformasi generasi kedua, beliau tidak hanya dikenali sebagai anak kepada Anwar Ibrahim tetapi sebagai pemimpin yang membina legasinya sendiri. Dari Lembah Pantai ke Permatang Pauh, dari blok pembangkang ke pentadbiran kerajaan. Beliau telah menempuh badai politik, serangan peribadi dan cabaran institusi namun tetap berdiri teguh dan bersuara untuk rakyat.
Kepimpinan beliau membawa ciri-ciri penting yang sangat diperlukan parti hari ini.
Suara wanita diperkasakan semula
Nilai keterangkuman dan empati merentas sayap dan perbezaan dalaman. Pengalaman beliau merentasi fasa perjuangan jatuh dan bangun KEADILAN. Kredibiliti di pentas nasional dan antarabangsa pula meyakinkan akar umbi dan pengundi muda.
Beliau juga mempunyai keberanian moral untuk bersuara dalam hal yang sukar termasuk dasar dan keadilan sosial, biarpun melawan arus.
Sebagai Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah diharap dapat merangka strategi yang memperkukuh jentera parti terutamanya sayap wanita yang kini dilihat berpecah dan hilang arah. Kekuatan sebenar KEADILAN selama ini terbina atas keutuhan wanita sebagai penggerak utama bukan hanya di bilik mesyuarat tetapi juga di medan perjuangan.
Dengan kepimpinan yang menyatukan, suara wanita harus diperkasa semula agar menjadi suara yang digeruni lawan dan dihormati kawan.
Lebih daripada itu Nurul Izzah membawa satu sentuhan yang menyatukan. Suara yang tidak melawan untuk menang tetapi berdiri untuk mendamaikan. Dalam politik yang sering keras dan polar beliau adalah simbol naratif segar yang lembut tetapi tidak lemah.