Nurul Izzah tidak pernah lapor MCMC pengasas bersama SCRUT
- Suara Keadilan
- Apr 25
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar menegaskan beliau atau mana-mana pegawainya tidak pernah membuat sebarang laporan terhadap seorang individu yang membuat hantaran di media sosial menyatakan hasratnya untuk menyelidik latar belakangnya.
Beliau berkata, individu tersebut tidak sepatutnya disiasat hanya kerana membuat cabaran atau kenyataan tersebut.
"Saya mahupun mana-mana pegawai saya tidak pernah membuat sebarang laporan kepada MCMC (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia) terhadap Aliff Ahmad, seperti yang didakwa.
"Justeru itu, adalah penting untuk semua pihak berhati-hati dalam membuat tuduhan yang boleh mencemarkan reputasi dan menjejaskan kredibiliti mana-mana pihak tanpa asas yang kukuh," katanya Nurul Izzah dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu tular di media sosial tentang hantaran Aliff atau nama sebenarnya Aliff Sharifuddin yang merupakan pengasas bersama Scrut.my (SCRUT), menyatakan beliau telah menerima notis arahan kehadiran di bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pada Khamis lalu.
Notis itu dikongsi di media sosialnya.
Terdahulu Aliff dalam hantaran di Facebook pada 23 April lalu membuat cabaran agar hantarannya mendapat 20,000 perkongsian, sebagai "harganya" untuk beliau melakukan proses "scrut" terhadap Nurul Izzah.
Dalam hantaran itu, Aliff menimbulkan pertanyaan tentang apakah pekerjaan Nurul Izzah dan sumber pendapatannya.
Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata beliau tidak mengenali individu tersebut ataupun pernah bertemu dengannya.
"Saya juga tidak pasti cara beliau mencari rezeki, tetapi sudah tentunya kita harus menyokong segala usaha yang mengikuti garis panduan undang-undang," katanya.
"Selainnya, kita berpegang kepada prinsip berani kerana benar. Moga Allah SWT memberkati segala usaha kita."
Comentários