Nurul Izzah sejak dahulu tunjuk komitmen perjuang nasib kaum India - Subramani
- Suara Keadilan

- Jul 12
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
KEADILAN Johor sedia berganding bahu dengan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar bagi merangka langkah konkrit demi memperkasa masyarakat India meliputi aspek pendidikan, ekonomi, sosiobudaya sehingga ke pengiktirafan warisan.
Perkara itu dinyatakan Ketua Cabang KEADILAN Pagoh, Subramani Chami yang menyifatkan komitmen ditunjukkan Nurul Izzah bukan sekadar wacana, tetapi harus disambut dengan kesatuan dan iltizam kolektif.
Katanya, beliau terpanggil untuk memberikan maklum balas terhadap kenyataan dan sindiran yang dilemparkan segelintir pimpinan politik India khususnya Kongres India Malaysia (MIC) dan Perikatan Nasional (PN) yang mempertikai peranan Nurul Izzah dalam memperjuangkan isu masyarakat India.
"Hakikatnya, Nurul Izzah telah lama menunjukkan komitmen terhadap masyarakat India, bukan sekadar retorik tetapi menerusi tindakan nyata.

"Sewaktu beliau (Nurul Izzah) menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Datuk Seri Saravanan pula memegang jawatan Menteri, beliau antara pemimpin paling awal tampil mempertahankan kedudukan Swami Vivekananda Ashram di Brickfields.
"Beliau juga konsisten turun padang dalam pelbagai isu yang menyentuh kepentingan komuniti India," puji beliau kepada Nurul Izzah.
Kini sebagai Penasihat Kanan kepada Perdana Menteri, Nurul Izzah ujarnya berada pada kedudukan strategik untuk memacu reformasi dasar menyeluruh, termasuk menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) demi membawa penyelesaian tuntas kepada cabaran masyarakat India.
Tegas Subramani lagi, sudah tiba masanya semua pimpinan India tanpa mengira parti menyambut baik dan mendukung usaha tersebut, bukannya sekadar mencari salah dan menuding jari.
"MIC juga merupakan sebahagian daripada kerajaan, jadi mereka mempunyai ruang dan saluran yang sah untuk menyumbang.
"Jangan sekadar bermain politik sempit demi meraih sokongan, sebaliknya hayatilah semangat MADANI yang mengutamakan penyelesaian dan kemajuan bersama," katanya lagi.









Comments