top of page

Nurul Izzah, Pua, impian Malaysia muncul 'Harimau Digital ASEAN'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 28
  • 3 min read

Pua dan Izzah berbincang santai, namun hasilnya Malaysia bakal bergelar Harimau Digital ASEAN
Pua dan Izzah berbincang santai, namun hasilnya Malaysia bakal bergelar Harimau Digital ASEAN

Oleh: Noraini Nordin



ULASAN BERITA: Membaca kisah-kisah kejayaan anak-anak Malaysia di luar negara memang membanggakan kita sebagai rakyat negara ini. Namun yang lebih membanggakan kita lagi apabila warga Malaysia yang berjaya itu mahu kembali semula ke tanah air dengan membawa kejayaan tersebut untuk dikongsi rezekinya bersama anak bangsa.


Kegembiraan serta kebanggaan seperti inilah yang mahu dikongsi oleh Penasihat Strategik Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Selangor (SIDEC) Nurul Izzah Anwar mengenai kecemerlangan anak jati Sekinchan iaitu Pua Khien Seng yang telah mencipta sejarah di dunia.


Mencipta cip USB flash pertama di dunia


Pua Khien Seng telah mencipta cip USB flash pertama di dunia yang telah mengubah landskap penyimpanan data global. Kini syarikat beliau iaitu Phison menguasai lebih 45 peratus pasaran USB flash di dunia.


Laluan kejayaan yang bukan mudah. Kegigihan Pua Khien Seng atau Pua memang luar biasa dan wajar dicontohi oleh insan yang mahu mencapai kecemerlangan.


Tiada yang mustahil jika azam, iltizam serta kegigihan bersatu dengan semangat yang padu. Dengan bantuan tokoh hebat seperti Nurul Izzah Anwar impian Pua untuk menjadikan Malaysia Harimau Digital ASEAN pasti mampu dilaksana.

Penulis menyusuri catatan penuh Nurul Izzah Anwar yang dikongsi daripada laman media sosial (FB Nurul Izzah Anwar) untuk tatapan pembaca.


Dari Sekinchan ke Silikon: Sirih pulang ke gagang


Dua puluh tahun lepas, seorang anak muda dari Sekinchan, Pua Khien Seng telah mencipta sejarah dunia. Beliau mencipta cip USB flash pertama di dunia yang telah mengubah landskap penyimpanan data global. Kini syarikat beliau, Phison menguasai lebih 45% pasaran USB flash di dunia.


Namun ramai yang tidak tahu, pada tahun 1999, Pua pernah cuba membawa visinya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama reka bentuk mikrocip di dunia. Tetapi impiannya terhalang oleh birokrasi, dasar yang terbatas, dan ekosistem yang belum matang dan bersedia. Jadi beliau memilih untuk ke Taiwan, di mana ideanya diberi peluang untuk berkembang.


Dua tahun lepas, saya berpeluang makan tengah hari bersama Pua. Walaupun beliau seorang usahawan berjaya yang sudah membina nama di persada dunia, hatinya tetap terpaut pada Malaysia. Pua beritahu saya, dia boleh sahaja memilih untuk melabur ke mana-mana negara lain. Tetapi, dia tetap nak kembali menabur bakti buat tanah air tercinta.


“Saya mahu melihat Malaysia muncul sebagai harimau digital di rantau ASEAN,” Pua bercerita penuh semangat.


Beliau berhasrat membawa pelaburan berjumlah RM100 juta serta pemindahan teknologi bernilai RM1 bilion bagi membolehkan Malaysia menerajui bidang reka cipta mikrocip.


Namun, Pua meluahkan sesuatu yang sangat menyentuh hati saya.


“Saya mampu merungkai dunia mikrocip yang kompleks, tetapi saya masih gagal memahami mentaliti dan lanskap politik di Malaysia.”


Jadi, saya perlu bantu dia untuk memacu kemajuan teknologi Malaysia ke hadapan.


Saya menyokong usaha beliau dengan menghubungkan kepada ekosistem dasar dan agensi dan kementerian yang relevan.

Saya juga mempertemukan beliau dengan individu dan pihak yang tepat, termasuk Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC), kerana hasrat kami adalah untuk menjadikan Selangor sebagai Lembah Silikon Malaysia.


Ia bukan perjalanan yang mudah, tetapi akhirnya membuahkan hasil. Dua bulan lalu, Pua melancarkan MaiStorage di Malaysia - sebuah syarikat reka cipta mikrocip dan teknologi storan data canggih.


Kami berjaya membawa pulang sebuah syarikat gergasi teknologi dunia dan seorang anak jati tempatan yang sudi melatih jurutera kita demi masa depan negara. Bagi mengelak lebih ramai bakat-bakat Malaysia berhijrah ke luar negara, Pua menawarkan gaji permulaan RM6,000 untuk graduan baharu, manakala gaji bagi jurutera berpengalaman pula mencecah lima angka. Sasaran Pua, mahu membawa syarikat ini ke penyenaraian IPO menjelang tahun 2028!


Saya dijemput ke pejabat baharu MaiStorage dua hari lalu. Pua tersenyum dan berkata, “Saya telah tunaikan janji saya. Terima kasih Puan Izzah kerana mempercayai saya dan membimbing saya ketika saya memerlukan bantuan.”


Inilah kisah seorang anak bangsa yang pulang membawa harapan. Harapan untuk menjadikan Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta masa depan. Sebuah impian yang bermula di Sekinchan dan kini sedang membina sejarah untuk negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page