top of page

Nurul Izzah perjuang basmi kemiskinan, tidak pinggir kaum India

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 10
  • 2 min read

Nurul Izzah terus memperjuangkan pembasmian kemiskinan dan kaum India difokuskan
Nurul Izzah terus memperjuangkan pembasmian kemiskinan dan kaum India difokuskan

Oleh: Akmal Manaf


Wanita KEADILAN Pusat menzahirkan rasa kesal dengan serangan tidak berasas dilemparkan kepada Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar kononnya meminggirkan masyarakat India dalam agenda pembangunan negara.


Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Sangetha Jayakumar yang membidas tohmahan itu menyifatkan ianya bukan sahaja berniat jahat, malah langsung tidak menggambarkan rekod perjuangan dan perkhidmatan Nurul Izzah yang konsisten dan menyeluruh demi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.


Sebagai tokoh yang giat memperjuangkan pembasmian kemiskinan, beliau berkata, Nurul Izzah telah memimpin pelaksanaan Kajian Kemiskinan Multidimensi (MPI) di Pulau Pinang yang merupakan pendekatan holistik bagi mengenal pasti dimensi sebenar kemiskinan melangkaui pendapatan semata-mata.


''Data daripada kajian ini secara jelas menunjukkan bahawa pendekatan ini memberi manfaat besar kepada komuniti India, yang merupakan antara golongan paling terkesan dengan kemiskinan struktur di kawasan bandar dan luar bandar.


''Komitmen beliau terhadap kesejahteraan rakyat turut dizahirkan menerusi sokongan beliau kepada kempen Sayangi Diri Wanita KEADILAN, yang menumpukan kepada literasi kesihatan wanita termasuk kesedaran dan saringan awal bagi virus HPV (barah serviks) dan barah payudara.


''Ramai wanita India daripada komuniti B40 telah mendapat manfaat langsung daripada kempen ini melalui program pendidikan, pemeriksaan percuma dan rujukan kesihatan,'' katanya dalam satu kenyataan.


Beliau menambah, Nurul Izzah juga konsisten dalam memperjuangkan pemerkasaan belia dan wanita melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), terutamanya bagi masyarakat yang terpinggir dari arus perdana.


Ujarnya, mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga percaya bahawa pendidikan vokasional adalah alat mobiliti sosial yang ampuh dan telah menyokong program-program latihan yang inklusif dan responsif terhadap keperluan komuniti minoriti.


''Kami menegaskan bahawa perjuangan Nurul Izzah berteraskan prinsip keadilan sosial, inklusiviti, dan pembangunan berasaskan keperluan (needs-based), bukannya retorik perkauman.


''Serangan terhadap beliau adalah satu percubaan terdesak untuk memesongkan perhatian daripada isu sebenar dan memecah-belahkan rakyat.


''Memainkan sentimen perkauman adalah politik murahan yang tidak membawa sebarang manfaat kepada masa depan negara,'' tempelak beliau lagi.


Menurut Sangetha, Malaysia memerlukan politik matang yang menumpukan kepada pembangunan ekonomi saksama, pengurangan jurang kemiskinan dan peningkatan kualiti hidup seluruh rakyat tanpa mengira kaum.


''Ini selaras dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, kemampanan, kemakmuran bersama dan kesaksamaan.


''Wanita KEADILAN akan terus teguh menyokong pimpinan yang bekerja demi rakyat, bukan mereka yang menangguk di air keruh demi kepentingan politik sempit,'' katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page