Nurul Izzah optimis ASAK tingkatkan kecekapan Wanita KEADILAN
- Suara Keadilan
- Mar 2, 2024
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Sistem Asimilasi Struktur Asas (ASAK) dilihat sebagai penyelesaian terbaik bagi meningkatkan pengurusan Wanita KEADILAN ke arah digitalisasi.
Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, kerja-kerja dokumentasi melalui kaedah digital bukan sahaja memudahkan urus tadbir sayap wanita itu malahan dapat meningkatkan pengetahuan jentera parti tersebut bagi menggerakkan aspirasi parti ke akar umbi secara lebih mantap.
"Sistem ASAK ini dapat memudahkan segala urusan dokumentasi bukan sahaja di peringkat Pusat tetapi meliputi negeri dan cabang.
"Ia juga dapat meningkatkan pengetahuan wanita untuk kalis cabaran masa depan daripada menjadi mangsa jenayah siber yang kerap berlaku ketika ini," katanya dalam ucapan program sistem Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan (ASAK) di Top Glove Tower Ballroom Setia Alam Selangor, hari ini.
Amanat beliau itu disampaikan melalui satu hantaran video khas bagi perasmian program berkenaan.

Mengulas lanjut Nurul Izzah berkata, tahap penguasaan bidang maklumat dan teknologi (IT) di kalangan wanita terutama kanak-kanak masih di tahap yang rendah.
Oleh itu, Wanita KEADILAN seharusnya berperanan untuk meningkatkannya ke tahap yang sewajarnya.
"Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF 2023) mencatatkan peratusan sangat rendah buat kanak-kanak perempuan dalam pengetahuan IT dan telefon pintar berbanding kanak-kanak lelaki yang mempunyai 1.8 kali ganda akses penggunaan itu.
"Tambahan lagi peratusan penggunaan internet bagi lelaki adalah 46 peratus berbanding 25 peratus sahaja di kalangan kanak-kanak perempuan," katanya lagi.
Justeru, Nurul Izzah menyeru agar tahap penggunaan digital perlu digalakkan agar teknologi itu dimanfaatkan oleh para wanita.
Untuk rekod, ASAK adalah halaman sesawang rasmi tertutup yang bertujuan penyeragamkan tadbir urus dan pemantapan Wanita KEADILAN daripada peringkat pusat sehingga ke ranting.
Inisiatif ke arah pendigitalan dijangka akan bermula dengan siri jelajah negeri dan latihan bagi memantapkan lagi pengetahuan wanita KEADILAN bermula Mac ini.
Commentaires