Nurul Izzah komited jalankan tugas, rakyat jangan terpengaruh maklumat palsu
- Noraini Nordin

- Mar 31
- 2 min read

ULASAN BERITA: Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar akhirnya tampil menjelaskan khabar angin yang timbul terkait dakwaan peletakan jawatannya yang tular sejak kebelakangan ini.
Nurul Izzah dengan tegas menafikan khabar angin tersebut dan menyifatkannya sebagai maklumat palsu atau spekulasi berniat jahat.
Mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menegaskan bahawa dakwaan peletakan jawatan sama sekali tidak benar.
"Saya kekal komited menjalankan amanah diberikan selaras dengan mandat anggota parti dan proses demokrasi organisasi.
"Tiada sebarang perubahan berlaku dalam struktur kepimpinan sedia ada, dan fokus utama saya kini adalah untuk terus memperkukuh agenda perjuangan parti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Izzah seterusnya menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh dengan maklumat palsu.
"Segala maklumat sahih hanya akan disalurkan melalui kenyataan rasmi parti," katanya lagi.
Cubaan gugat keyakinan
Dengan penjelasan daripada tuan badan sendiri, bermakna tertutup sudahlah spekulasi yang berlegar sejak beberapa hari lalu.

Dakwaan tersebut ditularkan melalui media sosial serta secara lisan sehingga penulis sendiri `diserang mesej palsu’ tersebut melalui aplikasi whatsapp daripada pelbagai individu.
Walaupun Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh telah menafikan khabar angin yang mengatakan Nurul Izzah telah mengosongkan jawatan Timbalan Presiden parti namun berita tersebut terus dispekulasikan.
Ternyata cubaan mahu menggugat keyakinan orang ramai khasnya anggota KEADILAN tidak berhenti.
Dengan adanya penjelasan oleh Nurul Izzah sendiri, tentunya ia merupakan berita gembira buat anggota KEADILAN dalam mengharungi masa depan perjuangan parti.
Terbukti Nurul Izzah kekal komited bersama parti dalam meneruskan perjuangannya, sekaligus untuk terus memperkukuh kedudukan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum mendatang yang bakal diadakan selepas ini.




Comments