Nurul Izzah kekal bercuti, meneruskan pengajian PhD
- Suara Keadilan

- 6 hours ago
- 1 min read

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN telah menolak perletakan jawatan Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) berkata begitu mengulas isu peletakan jawatan Timbalan Presiden yang diperkatakan.
Katanya, KEADILAN telah bersetuju memberi Nurul Izzah ruang dan masa untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) manakala peranannya dipangku oleh Naib Presiden KEADILAN.
"Dalam mesyuarat tempoh hari, MPP memutuskan tidak menerima peletakan jawatan Nurul Izzah kerana beliau meminta masa seperti kenyataan yang diberikan itu antara lain (untuk) mengurus diri dan juga menyiapkan serta meneruskan pendidikan PhD.
"Jadi kita beri beliau masa. Tugas serta tanggungjawab dan fungsi-fungsi Timbalan Presiden akan digalas oleh Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail," katanya dipetik Sinar Harian.
Nurul Izzah sebelum ini memohon mengundurkan diri daripada jawatan Timbalan Presiden KEADILAN bagi membolehkannya meneruskan pengajian lanjutan berteraskan khidmat dan bakti tanpa terikat dengan dunia politik.
Namun, beliau menegaskan keputusan berkenaan tidak mengubah pendiriannya untuk terus menyumbang kepada KEADILAN ke arah Malaysia yang lebih baik di bawah pimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama barisan kepemimpinan serta akar umbi.




Comments