top of page

Nurul Izzah janji perjuang keadilan buat mendiang Shing Xuen

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 18
  • 1 min read
Nurul Izzah menziarahi pengkebumian mendiang adik Yap Shing Xuen
Nurul Izzah menziarahi pengkebumian mendiang adik Yap Shing Xuen

Oleh: Azuan Ab Rahman


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Nurul Izzah Anwar berjanji akan memperjuangkan keadilan buat mendiang Yap Shing Xuen, pelajar Tingkatan Empat yang meninggal dunia dalam insiden tragis di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya baru-baru ini.


Dalam satu kenyataan di laman sosialnya, Nurul Izzah menegaskan pemergian pelajar berusia 16 tahun itu bukan sekadar tragedi peribadi, sebaliknya panggilan kesedaran kepada seluruh masyarakat agar lebih peka terhadap kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak di negara ini.


"Daripada kes arwah Zara Qairina, kepada kes pemerkosaan yang mencemaskan, mangsa dan pelaku semuanya adalah kanak-kanak. Jelas sekali hal ini menuntut perubahan secara drastik dan holistik sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa," katanya.


Terdahulu, Nurul Izzah menziarahi keluarga mendiang Yap Shing Xuen bagi menyampaikan ucapan takziah secara peribadi dan juga bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh warga besar KEADILAN.


Menerusi kenyataannya, Nurul Izzah turut menyatakan kekaguman terhadap ketabahan ibu mendiang, yang tetap kuat menghadapi dugaan luar biasa itu.


"Melihat kekuatan seorang ibu yang kehilangan anak sebegini membuatkan saya lebih bertekad memperjuangkan keadilan; untuk Shing Xuen, untuk semua kanak-kanak di negara ini.


"Justeru, seluruh rakyat Malaysia perlu berganding bahu memastikan agar tragedi seperti ini tidak berulang," katanya.


Selasa lalu, negara dikejutkan dengan laporan kematian seorang pelajar perempuan yang dipercayai ditikam beberapa kali oleh rakan sekolahnya, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.


Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi berhampiran kawasan tandas perempuan, di luar bilik darjah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page