Nurul Izzah ikrar bela kanak kanak jadi mangsa 'ustaz selebriti'
- Redzuan Shamsudin

- Jul 14
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar tampil menyuarakan komitmen untuk memperjuangkan keadilan bagi seorang kanak-kanak yang didakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang ustaz selebriti.
Dalam satu hantaran di Facebook, Nurul Izzah mendedahkan ustaz terbabit pada awalnya mendekati mangsa yang meminati nasyid dengan alasan mahu membimbingnya, sebelum cuba melakukan amang seksual terhadap mangsa.
"Perbuatan jijik itu berlaku di sebuah hotel selepas ustaz terbabit mengumpan mangsa mengikutinya menonton persembahan nasyid di negeri lain.
"Kanak-kanak itu, tanpa rasa curiga mengikut lelaki terbabit atas kepercayaan dia adalah insan dihormati dan tokoh pembimbing agama.
"Kanak-kanak itu ketakutan, menolak perbuatan itu dan mengurung diri dalam tandas sehingga lima jam, sebelum melarikan diri ketika lelaki itu tertidur, dan menelefon ahli keluarganya," dakwa mantan Ahli Permatang Pauh itu menerusi hantarannya.
Tambahnya lagi, insiden tersebut telah menyebabkan mangsa mengalami trauma mendalam hingga terpaksa mendapatkan rawatan kaunseling secara berkala dan bergantung kepada ubat, selain menyebabkan prestasi akademiknya turut merosot.
"Apa yang lebih mengejutkan, sudah ada beberapa laporan polis dibuat terhadap lelaki yang sama sebelum kejadian itu, namun dikatakan tiada tindakan diambil ke atasnya.
"Kenapa tiada tindakan diambil sejak laporan pertama? Kenapa pemangsa ini masih bebas dan terus menjadikan gelaran 'ustaz' sebagai topeng untuk meneruskan kejahatannya?" soal Nurul Izzah.
Beliau sementara itu mendedahkan keluarga mangsa kini pula terpaksa berdepan tindakan saman fitnah oleh ustaz terbabit dengan tuntutan ratusan ribu ringgit, selain diminta membuat permohonan maaf terbuka melalui akhbar.
Sehubungan itu, beliau menegaskan tekad untuk tidak berganjak walau selangkah dalam usaha memastikan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.
"Saya akan pastikan pasukan peguam kita membela adik ini habis-habisan di mahkamah. Saya akan pastikan dia dilindungi, dan keadilan akhirnya berpihak kepada yang benar, insya-Allah," tegasnya.









Comments