Nurul Izzah diperlukan demi kestabilan, perpaduan parti - Mustaffa
- Suara Keadilan
- 14 hours ago
- 2 min read

Kepimpinan Nurul Izzah Anwar diperlukan demi kestabilan parti KEADILAN.
Bagi calon Naib Presiden KEADILAN, Mustaffa Kamil Ayub, sosok Nurul Izzah mampu menjadi penyatu antara pejuang generasi reformasi dan anak muda yang menyertai KEADILAN pada waktu ini.
"Beliau juga merupakan figur yang mampu menyatukan idealisme perjuangan generasi Reformasi 1998 dengan aspirasi generasi muda hari ini dengan membawa pendekatan dan idealisme yang lebih segar.
"Kepimpinan beliau di peringkat tertinggi parti bergandingan bahu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim amat diperlukan demi kestabilan, perpaduan dan kekukuhan parti bagi mendepani cabaran politik yang lebih besar pada masa hadapan.
"Dengan amanah selaku timbalan presiden parti (sekiranya menang) kali ini, saya yakin beliau akan membuktikan sekali lagi kecemerlangannya menerajui pengurusan dan gerak kerja bagi memenangi pilihanraya, seterusnya menobatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri bagi penggal kedua," katanya dalam satu kenyataan.
Mustaffa yang juga Presiden Rangkaian Pengasas Parti (RAPAT) dan terlibat sebagai antara pengasas parti KEADILAN pada 1999 yakin Nurul Izzah merupakan pemimpin terbaik digandingkan dengan ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi parti.
"Saya telah menyaksikan sendiri perkembangan Nurul Izzah hingga ke tahap ini, menyokong dan mendukung penuh beliau dipertimbangkan oleh semua lapisan Perwakilan Kongres dan Perwakilan Tambahan untuk diundi dan dinobatkan selaku Timbalan Presiden KEADILAN dalam proses pengundian pada 23 Mei 2025 ini," ujarnya.
Mustaffa turut mengakui akan serasi dengan pasukan reformasi Nurul Izzah dalam memperkasa parti sekiranya terpilih sebagai naib presiden dalam Pemilihan KEADILAN 2025.
"Berbekal semangat Deklarasi Permatang Pauh 1998, Sumpah Keramat Pemuda KEADILAN 2000, dan pengalaman saya selaku Timbalan Ketua Pemuda Pusat 1999-2000, Pemangku Ketua Pemuda Pusat 2001, Setiausaha Agung 2001-2004, Naib Presiden KEADILAN 2004-2010, maka saya dengan ini menawarkan diri bertanding jawatan NAIB PRESIDEN parti pada pemilihan kali ini.
"Dengan pengalaman yang ada termasuk pernah menjadi Pengerusi KEADILAN di beberapa negeri khususnya, Perak, Sarawak, Kelantan dan Terengganu saya yakin dapat berganding bahu dengan Nurul Izzah selaku Timbalan Presiden nanti, dan pastinya bersama Datuk Seri Anwar selaku presiden yang mampu mengurus parti keramat ini dengan baik dan melonjak menjadi sebuah organisasi yang mampu memacu negara ini dengan lebih cemerlang demi kemaslahatan rakyat," katanya lagi.
Untuk rekod, Mustaffa Kamil Ayub adalah antara anak muda yang berhimpun di rumah Datuk Seri Anwar pada hari beliau dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri pada 2 September 1998.
Beliau kini merupakan Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Ahli Lembaga Pengarah UiTM.