Nurul Izzah cuti sementara sebagai Timbalan Presiden, Saifuddin pangku tugas
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN memutuskan untuk memberikan cuti sementara kepada Timbalan Presiden parti, Nurul Izzah Anwar, manakala tugas-tugas jawatan itu akan dipangku sementara oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat selepas MPP membincangkan permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri daripada jawatan berkenaan.
"MPP membincangkan permohonan Sdri Nurul Izzah Anwar untuk mengundurkan diri dari jawatan Timbalan Presiden.
"Namun setelah mendengar pandangan Nurul Izzah dan pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumum,” kata Fahmi dalam kenyataan media selepas mesyuarat MPP hari ini.
Menurut Menteri Komunikasi itu, MPP turut memutuskan Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden sepanjang tempoh cuti tersebut.
Dalam perkembangan sama, MPP melantik Naib Presiden, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya KEADILAN sepenuhnya.
"MPP juga bersetuju bahawa jawatan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN digalas sepenuhnya oleh Datuk Seri Amirudin Shari, Naib Presiden," katanya.
Fahmi berkata, mesyuarat tersebut juga meneliti keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan serta merakamkan penghargaan kepada semua petugas parti.
"MPP menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan.
"Parti juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada pasukan yang telah bekerja bertungkus-lumus sewaktu dua PRN itu serta merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, di atas perkhidmatan yang cemerlang sepanjang dua penggal yang lalu," katanya.
Mengenai Kongres Nasional KEADILAN 2026, Fahmi memaklumkan Nurul Izzah akan merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN pada 14 Ogos ini.
Selain itu, beliau berkata MPP turut meluluskan penyertaan anggota baharu yang mendaftar secara dalam talian bagi tempoh Julai hingga Ogos 2026.
"MPP turut meluluskan 3,533 orang anggota baharu bagi tempoh 12 Julai sehingga Ogos 2026, yang telah mendaftar secara dalam talian," katanya.




Comments