top of page

Nur Hafiz, Dr Maszlee harap pengundi keluar beramai ramai demi masa depan Johor

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jul 11
2 min read
Nur Hafiz mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, Kluang pagi tadi
Nur Hafiz mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, Kluang pagi tadi

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Machap, Nur Hafiz Roslan pagi ini selesai membuang undi bersama ibunya di Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, Kluang kira-kira jam 9.15 pagi.


Beliau yang juga bekas murid sekolah berkenaan berkata, suasana pengundian pada awal pagi ini amat memberangsangkan dan berharap momentum tersebut berterusan sehingga pusat mengundi ditutup.


"Alhamdulillah, saya baru selesai mengundi dan kehadiran amat memberangsangkan.


"Saya harapkan rentak ini berterusan dan lebih ramai lagi yang akan keluar mengundi," katanya dalam hantaran di media sosial.


Sementara itu calon PH bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik yang mengundi di DUN Machap berharap lebih ramai pengundi, khususnya golongan muda, keluar menunaikan tanggungjawab bagi menentukan masa depan Johor.


Dr Maszlee menunjukkan dakwat di jari
Dr Maszlee menunjukkan dakwat di jari

Dr Maszlee berkata, beliau telah menunaikan tanggungjawab mengundi di DUN Machap sebelum meneruskan jadual melawat ke Puteri Wangsa.


"Saya telah menunaikan tanggungjawab mengundi di DUN Machap. Selepas ini ke Puteri Wangsa dan sekarang nak kembali ke sana," katanya selepas keluar dari  Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tuan Poon.


Beliau berkata, proses pengundian di pusat mengundi berjalan dengan lancar dan menerima sambutan yang menggalakkan daripada pengundi sejak awal pagi.


"Proses pengundian hari ini lancar. Kalau ikut kata mereka, pukul 8 lebih tadi dah 60 orang dekat saluran... orang tak muda dan tak tua macam saya... dan saya harap lebih ramai keluar mengundi," katanya berseloroh.


Dalam pada itu, Maszlee turut mendoakan kejayaan calon PH bagi DUN Machap, Nur Hafiz Roslan, selain berharap calon PH di kawasan lain memperoleh keputusan yang baik.


"Saya doa supaya di Machap ini saudara Noor Hafiz boleh membuat kejutan. Saya mendoakan yang terbaik buat semua calon sama ada di Machap atau Layang-Layang, daripada PH akan memperoleh kejayaan," katanya.


Beliau turut menyeru pengundi di seluruh Johor supaya keluar mengundi beramai-ramai.


"Di seluruh negeri Johor kita harap para pengundi keluar mengundi beramai-ramai, terutama golongan muda, berikan yang terbaik," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page